Pemandu kereta Toyota Vios serah diri

Tangkap layar insiden kereta yang dipandu lelaki berusia 50-an merempuh empat kenderaan sebelum melarikan diri dalam kejadian di Bukit Mertajam pada Selasa.
Tangkap layar insiden kereta yang dipandu lelaki berusia 50-an merempuh empat kenderaan sebelum melarikan diri dalam kejadian di Bukit Mertajam pada Selasa.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Pemandu kereta Toyota Vios yang dilaporkan melarikan diri selepas merempuh empat buah kenderaan di Jalan Perniagaan Bukit Tengah dekat sini pada Selasa telah menyerah diri kepada polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, lelaki berusia 50-an itu menyerah diri di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah SPT di sini, pada jam 1 petang Rabu untuk membantu siasatan

Menurutnya, dalam kejadian yang berlaku pada jam 6.30 petang Selasa itu, suspek disyaki telah keluar dari simpang dan terus melanggar tiga buah kenderaan yang berada di persimpangan terbabit.

"Suspek kemudiannya mengundurkan kenderaannya dan melanggar sebuah lagi kereta yang diletakkan di bahu jalan sebelum melarikan diri.

"Semua mangsa yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Cheng San berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada Rabu tular satu video berdurasi 38 saat yang memaparkan kejadian langgar lari yang dikatakan berlaku di Alma, Bukit Mertajam.

Dalam video terbabit, kereta Toyota Vios yang merempuh beberapa kenderaan dilihat melarikan diri dengan keadaan bumper bahagian depan rosak dan hampir tercabut.