Isu papan tanda jalan di Tanjung Sepat masuk mesyuarat Exco

Amirudin menyampaikan watikah pelantikan kepada salah seorang daripada 292 Ketua Kampung Tradisi Selangor di Dewan Jubli Perak, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) hari ini.
Amirudin menyampaikan watikah pelantikan kepada salah seorang daripada 292 Ketua Kampung Tradisi Selangor di Dewan Jubli Perak, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Isu papan tanda jalan dalam bahasa Cina di Tanjung Sepat, Kuala Langat dan didakwa tidak mengikut titah Sultan Selangor akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) lusa.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, perkara itu dibangkitkan beliau pada minggu lalu sebelum bertolak ke luar negara atas urusan kerja.

"Saya juga sudah mengarahkan setiausaha kerajaan negeri untuk mengumpul maklumat serta dokumen berkaitan selepas isu itu timbul.

"Sebelum ini, semua sangat jelas bahawa polisi pada 2016 dan 2017 berkaitan perkara itu (papan tanda jalan dalam bahasa Cina) adalah untuk kawasan-kawasan majoriti kaum Tionghua," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan kepada Ketua-ketua Kampung Tradisi Selangor di Dewan Jubli Perak, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) hari ini.

Bagaimanapun, menurutnya, apabila Sultan Selangor menitahkan semua papan tanda jalan di Shah Alam hanya menggunakan bahasa Melayu pada tahun lalu, maka perkara itu dilaksanakan di Shah Alam.

"Tetapi bagi kes di Tanjung Sepat ia adalah keputusan Exco pada 2016 dan 2017. Jadi kita akan bincangkan perkara itu menerusi MMKN terlebih dahulu secara menyeluruh dan maklumkan keputusannya dari semasa ke semasa.

"Kita menjunjung titah Tuanku dan pada masa yang sama akan mengekalkan keharmonian kaum di negeri ini. Jika tiada halangan kita akan bincang Rabu ini dan lihat bagaimana keputusan yang akan dicapai nanti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 17 Jun lalu, sebuah media tempatan melaporkan berhubung banyak papan tanda ditulis dalam bahasa Cina di Tanjung Sepat hingga menerima kecaman daripada ramai pihak.

Susulan laporan itu, Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) turut menerima tempias ekoran Tanjung Sepat berada di bawah pentadbirannya.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid menafikan pihaknya ingkar titah Sultan Selangor dalam isu tersebut dan menjelaskan apa yang dilakukan pihaknya sentiasa mengikut apa yang diselaraskan kerajaan negeri dan tidak membelakangkan Tuanku.