Pencemaran udara: Johor patut belajar kejadian Sungai Kim Kim

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang menyifatkan tindakan kerajaan Johor dalam mendepani bencana pencemaran udara di Pasir Gudang masih layu dan longlai.

Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata, kerajaan Johor sewajarnya sudah boleh belajar daripada kejadian Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang berlaku beberapa bulan lalu.

"Pengajaran daripada segi pengurusan krisis, kepentingan mempunyai pelan pengurusan krisis, keutamaan untuk segera mengenal pasti punca dan lokasi sebenar pencemaran.

"Paling mustahak adalah komunikasi yang jelas dan jujur kepada orang ramai untuk mengelakkan panik serta kejadian yang lebih buruk dari terus berlaku. Namun malangnya, ini semua tidak berlaku," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noor Azleen berkata, penduduk sekitar Pasir Gudang tidak diceritakan perkara betul mengenai krisis yang berlaku.

"Hanya pengumuman mengenai keadaan yang kononnya terkawal walhal perkara sebaliknya berlaku di lapangan.

"Sekali lagi kami mendesak agar pihak kerajaan bertindak jujur dan segera berkongsi fakta mengenai krisis yang sedang berlaku," katanya.

Beliau berkata, rakyat berhak dimaklumkan mengenai langkah-langkah pencegahan dan keselamatan yang perlu diambil untuk mengelakkan dari risiko terdedah kepada pencemaran.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat juga berhak untuk mendapatkan nasihat daripada pihak berwajib mengenai langkah-langkah yang perlu dilakukan andainya mereka terkesan daripada pencemaran yang sedang berlaku.

"Kami mendoakan agar krisis kali ini dapat ditangani dengan segera dan secepat mungkin. Penduduk Pasir Gudang tidak harus terus tinggal dalam keadaan yang tidak selamat, dan terus dibimbangi dengan masalah pencemaran yang seolah-olah tidak ditangani dengan serius oleh kerajaan PH," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 14 sekolah di Pasir Gudang ditutup hingga Khamis

Sejak 20 Jun lalu, pencemaran udara berlaku di Pasir Gudang dan hari ini kerajaan Johor hari ini mengeluarkan arahan untuk menutup sementara 14 lagi sekolah di Pasir Gudang susulan gelombang kedua pencemaran udara pagi tadi.

Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat susulan tiga lagi sekolah dilanda simptom sesak nafas dan muntah-muntah pada jam 11 pagi tadi.

"Pihak Bomba terima panggilan jam 11 pagi tadi dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nusa Damai, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Dahlia dan SK Kopok. Setelah saringan dibuat, 20 dikesan mengalami sesak nafas dan muntah-muntah.

"Jadi Jawatankuasa Teknikal dan Saintifik buat ketetapan supaya sekolah yang berada dalam jajaran lokasi kejadian ditutup empat hari sehingga 27 Jun ini," katanya pada sidang media di Stadium Tertutup Pasir Gudang, hari ini.