Mujahid dicabar gesa kerajaan tubuh RCI siasat skandal TH

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dicabar supaya menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat segala tuduhan berkenaan skandal Tabung Haji (TH) sejak institusi kewangan Islam itu ditubuhkan.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, siasatan oleh RCI itu wajar dilakukan bagi mendedahkan perkara sebenar yang berlaku kepada rakyat dan bukannya dijadikan modal politik semata-mata.

“Jika Mujahid berapa pada kedudukan yang benar dan tiada apa yang hendak disorokan, saya sekali lagi mencabar beliau menggesa kerajaan menubuhkan RCI mengenai hal ehwal ehwal kewangan dan pelaburan TH.

“Biar rakyat mengetahui perkara sebenar,” katanya melalui kenyataan di Facebook semalam.

Bersama kenyataan itu, Asyraf turut memuat naik video Mujahid yang berdurasi hampir seminit ketika beliau berucap pada majlis Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Terengganu Musim Haji 1440H yang berlangsung selama dua hari berakhir semalam di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.

Asyraf berkata, awal penubuhan TH sehinggalah hari ini tidak pernah dilaporkan TH rugi bahkan bermula 2009, keuntungan bersih setelah ditolak cukai dan zakat, keuntungan institusi kewangan Islam itu mulai melangkaui angka lebih RM1 bilion.

“Jika benar akaun dimanipulasi, Jabatan Audit Negara adalah badan pertama perlu keluarkan kenyataan kerana selama ini merekalah yang mengaudit akaun dan laporan kewangan TH. Parlimen juga harus bertanggungjawab kerana dibentangkan dan diluluskan setiap tahun di Parlimen.

“Sebab itulah yang terbaik tubuhkan segera RCI sebagaimana janji Pakatan Harapan dalam manifesto mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

TH berjaya mencatatkan jumlah aset RM76.5 bilion berbanding jumlah tanggungan RM75.5 bilion, sekali gus membolehkan agihan hibah tidak melebihi RM1 bilion pada 2018 walaupun tidak pada kadar tinggi seperti sebelumnya memandangkan TH baharu sahaja pulih.

Mujahid berkata, usaha menyelamatkan TH itu adalah antara perkara utama yang dijanjikan PH dalam manifestonya selain skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Felda dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

TH pada pertengahan Mei lalu memaklumkan institusi kewangan Islam itu memperoleh pendapatan berjumlah RM623 juta dan mencatat keuntungan bersih RM440 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac tahun ini.

TH berkata, pencapaian itu dicapai hasil daripada kejayaan proses penstrukturan dan pemulihan yang dilaksanakan pada akhir Disember 2018.