oBike percuma buat kanak-kanak di Myanmar

No Image Caption
A
A
A

PERKHIDMATAN perkongsian basikal tanpa stesen, oBike yang pernah wujud di negara ini dan Singapura namun rosak akibat perbuatan vandalisme kini menjadi sinar baharu buat kanak-kanak di Myanmar.

Seorang pelabur teknologi berasal dari negara itu, Mike Than Tun Win mengambil keputusan untuk membeli 10,000 basikal daripada syarikat oBike untuk dibaikpulih sebelum diserahkan secara percuma kepada golongan kanak-kanak miskin di sana.

Than Tun Win mengambil tindakan itu bagi memperbaiki kehidupan kanak-kanak tersebut dengan harapan dapat memudahkan mereka untuk mendapatkan akses pendidikan.

Harga sebuah basikal mencecah AS$35 (RM144), termasuk kos penghantaran serta pengedaran.

Jumlah keseluruhan pembelian dibayar separuh olehnya manakala yang lain ditanggung oleh para penaja.

Basikal OBike yang pernah wujud di negara ini dan Singapura kini menjadi sinar baharu buat kanak-kanak di Myanmar.
Basikal OBike yang pernah wujud di negara ini dan Singapura kini menjadi sinar baharu buat kanak-kanak di Myanmar.

Program amal yang diterajui sendiri Than Tun Win dan diberi nama Lesswalk itu memulakan sesi pemberian basikal kepada kanak-kanak miskin di bandar Yangon terlebih dahulu sebelum pergi ke rantau Mandalay dan Sagaing.

Sementara itu, menerusi laporan AFP, salah seorang kanak-kanak penerima bantuan, Thae Su Wai, dia tidak perlu lagi berjalan kaki sejauh 10 kilometer selama dua jam untuk ke sekolah pada setiap hari.

Artikel Berkaitan:

"Saya akan mempunyai lebih banyak masa untuk belajar dan bermain dengan rakan-rakan," katanya dengan gembira menunggang basikal baru di sekolah Kampung Nhaw Kone berhampiran Yangon.

Kanak-kanak yang berusia 11 tahun itu merupakan antara 200 pelajar pertama yang menerima basikal sebagai sebahagian daripada 'Lesswalk'.

Matlamat Lesswalk adalah untuk mengekalkan momentum dalam memberikan sejumlah 100,000 buah basikal dalam tempoh lima tahun di Myanmar.

Tambahnya lagi, basikal oBike mungkin tidak bernilai di Singapura, tetapi ia sangat berharga buat penduduk di negara yang hidup dalam kemiskinan.

oBike diperkenalkan pada tahun 2017 di Malaysia sebagai alternatif pengangkutan buat masyarakat untuk berbasikal jika tempat yang ingin dituju itu mengalami kesesakan lalu lintas.

Walau bagaimanapun, setahun kemudian perkhidmatan oBike itu gagal akibat daripada perbuatan masyarakat yang tidak bertanggungjawab melakukan vandalisme ketika menggunakannya.