Wanita sakit mental 'naik hantu'

Keadaan kereta yang remuk dan pisau yang dirampas daripada suspek.
Keadaan kereta yang remuk dan pisau yang dirampas daripada suspek.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang wanita yang dipercayai kurang siuman ditahan polis selepas dia dikatakan cuba menyimbah asid ke arah anak saudaranya dan kereta mangsa dalam kejadian di Taman Impian di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian yang berlaku jam 4.47 petang, wanita berusia 51 tahun itu dikatakan tiba-tiba 'naik angin' dan bertindak agresif sehingga mahu mencederakan anak saudaranya sendiri.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, mangsa kemudian menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, wanita yang juga ibu tunggal anak satu cuba menyerang anggota polis menggunakan tiga bilah pisau yang cuba memujuknya.

“Dia secara tiba-tiba membaling tiga bilah pisau ke arah anggota polis sebelum melarikan diri dengan memandu kereta jenis Proton Saga," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, wanita itu bukan sahaja merempuh motosikal anggota polis dan pintu pagar jirannya malah juga cuba melanggar anggota polis yang berada di hadapan rumah.

"Anggota polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar belakang kereta sebelum kereta dipandunya merempuh kenderaan lain dan tersangkut," katanya.

Katanya, ketika anggota polis cuba membuka pintu kereta berkenaan suspek bertindak membaling asid ke arah anggota polis.

Artikel Berkaitan:

“Suspek berbuat demikian kerana mahu melarikan diri namun polis berjaya menahan suspek sebelum membawanya ke Hospital Bukit Mertajam bagi pemeriksaan lanjut.

“Polis turut merampas tiga bilah pisau digunakan dalam kejadian itu daripada suspek,” katanya.