Peningkatan mendadak penipuan e-kewangan dibimbangi

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Peningkatan mendadak penipuan e-kewangan sepanjang lima bulan pertama tahun ini, amat membimbangkan dan dilihat sebagai suatu yang amat mencabar sekali, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata ini kerana sejak Januari hingga Mei lalu, kerugian penipuan e-kewangan di negara ini mencatatkan jumlah RM40.7 juta, yang mana ia melebihi nilai keseluruhan yang direkodkan sepanjang tahun lepas iaitu sebanyak RM40.5 juta.

“Bayangkan, kerugian dalam lima bulan (pertama) tahun ini, sudah melebihi kerugian selama 12 bulan tahun lepas. Ini satu perkembangan yang amat mencabar sekali.

“Saya percaya sudah sampai masanya Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), bekerja bersama-sama pihak berkaitan, termasuk Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, sebagai usaha meningkatkan pencegahan jenayah dalam penipuan e-kewangan ini,” katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran MCPF di sini, hari ini.

Tambah Dr Wan Azizah, dengan perkembangan pesat alam siber masa kini, masyarakat juga sudah boleh melihat pelbagai jenis jenayah baharu yang tidak pernah didengari sebelum ini.

Kata beliau, pihaknya dimaklumkan bahawa jenayah siber pada tempoh lima bulan pertama tahun ini, mencatatkan kerugian sebanyak RM153 juta, iaitu kira-kira 38 peratus daripada keseluruhan jumlah kerugian RM398.6 juta yang dicatatkan sepanjang tahun lepas.

“Kalau kita baca statistik, bukan tiada peningkatan dalam mencegah jenayah, tapi kadar jenayah masih lagi tinggi. Jadi apa yang dapat dilihat, cabaran ini (mencegah jenayah) menjadikan kita perlu sentiasa mempersiapkan diri bagi memerangi jenayah bersama-sama,” katanya.

Jelas Dr Wan Azizah, peranan MCPF dalam meningkatkan kesedaran orang awam termasuk langkah-langkah berkesan, berkaitan pencegahan jenayah juga semakin hari semakin mencabar.

Artikel Berkaitan:

Katanya, walaupun yayasan itu mempunyai pengalaman selama 26 tahun sejak ditubuhkan pada 1993, namun jenayah masa kini dilihat mempunyai corak dan cara baharu tahun demi tahun.

Oleh itu kata beliau, MCPF bersama-sama rakan strategik yayasan itu perlu sentiasa peka dengan perkembangan semasa jenayah sedia ada, mahupun jenayah dalam bentuk baharu.

Beliau turut menyeru semua pihak sama ada badan kerajaan mahupun swasta, individu serta persatuan bukan kerajaan (NGO) supaya bersama-sama dengan MCPF dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap langkah pencegahan jenayah.

Dr Wan Azizah percaya dengan kerjasama itu, semua pihak dapat bersama-sama mengurangkan jenayah dan peluang melakukan jenayah di negara ini. - Bernama