Dana 1MDB: Siasat balik lebih kepada dendam politik

Noh (tengah) menyaksikan paluan gong sebagai simbolik perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Karang yang disempurnakan Ahmad Maslan.
Noh (tengah) menyaksikan paluan gong sebagai simbolik perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Karang yang disempurnakan Ahmad Maslan.
A
A
A

TANJONG KARANG - Skandal dana 1MDB yang dikaitkan dengan akaun UMNO Selangor yang sudah dibekukan sebelum ini kembali menjadi 'modal' baharu politik dendam PH.

Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar menegaskan, akaun UMNO Selangor sehingga kini masih dibekukan selepas PRU14 namun timbul pula isu baharu.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu apabila memfailkan permohonan pelucutan sivil terhadap entiti yang dikaitkan dengan 1MDB.

"Saya hairan kenapa nama UMNO Selangor masih dibangkitkan SPRM sedangkan dana akaun parti sudah dibekukan dan disita.

"Saya rasa Latheefa ni tak ada modal baru nak dibangkitkan bila langkah yang pertama dibuat nak siasat balik benda lapuk.

"Saya sifatkan tindakan ini hanya lebih kepada dendam politik semata-mata dan akan beri sokongan kepada UMNO Selangor untuk terus lawan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut mengenai tindakan SPRM yang memohon pelucutan sivil terhadap entiti berkaitan termasuk UMNO Selangor.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang tidak menyangka SPRM turut mengambil tindakan u-turn apabila dipimpin Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.

Artikel Berkaitan:

"Saya ingatkan kerajaan hanya suka buat u-turn terhadap dasar kerajaan tapi sekarang ini pun SPRM buat benda sama.

"Adakah ini langkah pertama Lathefaa yang boleh dibanggakan selepas dilantik menerajui SPRM?," soalnya.

Beliau berkata demikian selepas hadir Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Karang yang dirasmikan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan di Taman Seri Setia.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahalan tidak mengetahui mengenai tindakan terbaru SPRM terhadap dana parti negeri itu.

Beliau yang memangku jawatan yang ditinggalkan bekas pengerusi, Ismail Sabri Yaakob berkata, UMNO Selangor belum menerima sebarang notis saman daripada SPRM.

“Kita tak tahu apakah tuntutan yang nak dikenakan. Kena siasat yang mana satu. Hari itu dia (SPRM) sudah bekukan harta parti, lepas bekukan apa lagi nak tuntut?,” katanya.

Nadzari merujuk kepada harta UMNO yang dibekukan oleh agensi anti rasuah itu kira-kira setahun lalu, seawal 28 Jun 2018 lalu dalam siasatan pihak berkuasa ke atas skandal 1MDB.