MAIWP sumbang duit raya

Mujahid meraikan anak yatim dan asnaf pada majlis sambutan Aidilfitri MAIWP di Kuala Lumpur, semalam.- FOTO: SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM
Mujahid meraikan anak yatim dan asnaf pada majlis sambutan Aidilfitri MAIWP di Kuala Lumpur, semalam.- FOTO: SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

Sebanyak RM51,000 duit raya disumbangkan kepada 500 anak yatim dan asnaf pada Majlis Sambutan Aidilfitri Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2019 yang diadakan di Kompleks MITEC di sini semalam.

Program itu dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang turut menyampaikan sumbangan duit raya tersebut kepada anak yatim yang juga terdiri daripada anak yatim kaum Cina dan India.

Mujahid dalam ucapannya berkata, undangan itu tidak lain tidak bukan adalah untuk berkongsi kegembiraan hari raya dengan mereka yang bukan beragama Islam yang jelas tidak bertentangan dengan hukum syarak dan dapat membina hubungan baik sesama insan.

“Secara tidak langsung, diharap ia akan dapat memberikan persepsi baik kepada bukan Islam tentang agama Islam yang menyeru kepada keamanan, kedamaian dan keharmonian.

“Inilah yang kerajaan cuba sampaikan menerusi Gagasan Islam Rahmatan Lil Alamin,” katanya pada majlis sambutan Aidilfitri MAIWP yang turut dihadiri Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee.

Mujahid (dua dari kiri) dan Syed Hussien (kiri) menyampaikan sumbangan hari raya kepada anak yatim dan asnaf pada majlis sambutan Aidilfitri MAIWP di Kuala Lumpur, semalam.- FOTO: SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM
Mujahid (dua dari kiri) dan Syed Hussien (kiri) menyampaikan sumbangan hari raya kepada anak yatim dan asnaf pada majlis sambutan Aidilfitri MAIWP di Kuala Lumpur, semalam.- FOTO: SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM

Dalam pada itu, Mujahid berkata, MAIWP juga memainkan peranan mengagihkan zakat menerusi pelbagai bentuk bantuan kepada asnaf yang sebahagian daripadanya berjaya keluar daripada kemiskinan.

Katanya, MAIWP sehingga kini menawarkan 28 skim bantuan merangkumi bantuan keperluan asasi, pendidikan, kebajikan dan dakwah antaranya bantuan kewangan bulanan dinikmati 22,000 keluarga dengan peruntukan RM8 juta sebulan.

“MAIWP turut memanfaatkan zakat dengan menubuhkan institusi pendidikan dan kebajikan seperti penubuhan Darul Kifayah di Taman Koperasi Polis Fasa 2, Batu Caves untuk menjaga kebajikan anak yatim dan ada antara penghuninya kini berjaya dalam kerjaya.

Artikel Berkaitan:

“MAIWP turut menubuhkan pusat perlindungan dan pemulihan wanita terperangkap dengan gejala sosial serta mengandung anak luar nikah dikenali Dar Assaadah.

“Sebuah lagi pusat perlindungan di bawah MAIWP ialah Darul Hidayah yang menempatkan saudara baharu. Mereka disediakan dengan kemudahan tempat tinggal dan kelas-kelas pengajian agama,” katanya. Dalam perkembangan sama, Mujahid mahu insitusi zakat lebih prihatin untuk mencari sendiri golongan asnaf.

“Ini kerana mungkin ada dalam kalangan mereka yang mengalami kesusahan itu hanya berdiam diri kerana malu memohon bantuan zakat sedangkan mereka layak berbuat demikian.

“Tanggungjawab institusi menguruskan zakat seperti MAIWP bukan hanya mengutip zakat semata-mata tetapi harus melihat keberkesanan dengan menyalurkannya kepada pihak yang berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Syed Hussien berkata, MAIWP telah menyerahkan bantuan berjumlah RM82,000 bagi membiayai 20 telaga air dan bantuan musibah kepada mangsa-mangsa kebakaran akibat kemarau yang melibatkan 24 rumah di Kemboja baru-baru ini.