X

Kindly register in order to view this article
!

Dasar kanak-kanak fitrah

A
A

KUALITI masyarakat masa depan bergantung pada kualiti kanak-kanak masa kini kerana mereka bakal menjadi penggerak utama negara dan ummah. Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan anak-anak mereka membesar sebagai insan yang berguna untuk masyarakat dan negara.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka ibu bapanya yang akan menjadikan anak tersebut Yahudi atau Nasrani atau Majusi.”Baru-baru ini saya berkesempatan untuk berbicara panjang lebar dengan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Mumtaz Md Nawi. Perbualan kami menyentuh topik berkenaan kanak-kanak memandangkan pihak Macma Kelantan dan Zurriyat Ventures Sdn Bhd ingin menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Kelantan dalam menganjurkan Pesta Kanak-Kanak Islam atau Malaysia Islamic Children’s Fair (MICF) di Kota Bharu pada hujung Ogos 2019.

Setelah Pengerusi MICF, Dayang Lily Maznah Muas menerangkan tentang perancangan penganjuran Pesta Kanak-Kanak Islam tersebut kepada Mumtaz dan pegawai-pegawai beliau, kami dimaklumkan bahawa negeri Kelantan mempunyai dasar khusus untuk kanak-kanak iaitu Dasar Kanak-kanak Fitrah (DKF) yang memberi tumpuan khusus kepada pembangunan dan perlindungan kanak-kanak sebagai individu yang penting dalam pembinaan generasi akan datang.

Malah, DKF Kelantan turut dibukukan oleh Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (Kekwa) kerajaan negeri Kelantan. DKF menjadi panduan untuk kerajaan negeri dan pihak bukan kerajaan yang berkenaan dalam menetapkan hala tuju, pelaksanaan dan penguatkuasaan peraturan dalam hal-hal berkaitan kanak-kanak.

DKF telah diusul dan digubal oleh pakar yang berkaitan dan mesyuarat jawatankuasa induk telah diadakan pada 24 Januari 2017, diikuti enam mesyuarat dalaman pada tahun 2017 dan 2018, serta satu mesyuarat sidang pakar pada tahun 2017. DKF Kelantan telah dilancarkan pada 28 Mac 2018 di Dewan Bunga Teratai, Kompleks Kota Darulnaim dan telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Exco Kelantan pada 6 Jun 2018.

Kanak-kanak dilahirkan dalam keadaan fitrah dan suci serta memerlukan perhatian semua pihak sepanjang tempoh mereka membesar. Apatah lagi bagi anak yatim, anak kurang upaya, anak laqit (buangan), anak angkat dan anak yang diabaikan oleh ibu bapa atau wali mereka.

Sesungguhnya ALLAH SWT akan merahmati dan memberi keberkatan kepada keluarga yang memelihara dan mengasuh anak-anak kurang bernasib baik seperti golongan anak yatim sebagaimana sabda Rasulullah SAW,

“Sebaik-baik rumah ialah rumah orang Islam yang ada di dalamnya anak yatim yang diasuh dengan baik dan sebaliknya seburuk-buruk rumah adalah rumah orang-orang Islam yang ada anak yatim tetapi tidak dijaga dengan baik.”

Dalam hal ini, saya kagum dengan visi dan misi Mumtaz yang ingin memupuk ciri-ciri bakal pemimpin yang cemerlang seawal usia kanak-kanak lagi. Menurut beliau, Nabi Muhammad SAW yang ketika berumur 12 tahun telah mengikuti bapa saudaranya, Abu Talib berniaga di Syam. Dalam catatan Sulalatus Salatin atau sejarah Melayu, ketika Singapura diserang todak, Raja Singapura ketika itu telah mengarahkan rakyat berbaris di tepi pantai dan menjadikan betis mereka sebagai pendinding daripada serangan todak. Seorang demi seorang mati ditikam ikan todak. Sesiapa yang lari akan dianggap sebagai penderhaka terhadap raja dan akan ditimpa tulah.

Seorang kanak-kanak bijaksana yang berusia tujuh tahun, Hang Nadim, telah mencadangkan kepada raja agar dibariskan batang pisang untuk dijadikan kubu pertahanan. Tidak lama kemudian, ikan todak menyerang semula tetapi tersangkut pada batang pisang. Singapura akhirnya bebas daripada serangan ikan todak.

Walaupun menurut undang-undang, setiap individu yang berumur di bawah 18 tahun dianggap kanak-kanak, mereka sebenarnya telah mencapai umur sebelum itu lagi. Semoga DKF ini dapat membantu dalam perkembangan kanak-kanak berlandaskan ajaran Islam untuk melahirkan insan soleh dan bermanfaat ke arah membina negara dan ummah terbaik.Kanak-kanak dilahirkan dalam keadaan fitrah dan suci serta memerlukan perhatian semua pihak sepanjang tempoh mereka membesar."


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!