Pahang bawa bekalan selesa aksi timbal balik Piala FA

Pemain Pahang Norshahrul Idlan Talaha dihalang pemain Perak Nazirul Naim Che Hashim pada perlawanan Separuh Akhir Pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur. -Foto Bernama
Pemain Pahang Norshahrul Idlan Talaha dihalang pemain Perak Nazirul Naim Che Hashim pada perlawanan Separuh Akhir Pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur. -Foto Bernama
A
A
A

JUARA bertahan Piala FA, Pahang membawa bekalan dua gol menjelang aksi timbal balik selepas menewaskan Perak 3-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.

Herold Mark Goulon meletakkan skuad Tok Gajah di hadapan pada minit ke-11 setelah menanduk masuk hantaran Muhammad Nor Azam Abdul Azih.

Pemain naturalisasi kebangsaan, Mohamadou Sumareh menggandakan kedudukan untuk pasukan tuan rumah pada minit ke-39 setelah menyempurnakan hantaran silang Norshahrul Idlan Talaha.

Perak, bagaimanapun, berjaya merapatkan defisit jaringan menerusi percubaan menarik J. Partiban pada minit ke-54 hasil hantaran Mohd Nor Hakim Hassan.

Goulon meledak gol peribadi kedua untuk skuad Tok Gajah pada masa kecederaan babak kedua perlawanan menerusi sepakan percuma menarik daripada jarak 50 meter untuk menewaskan penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy dan keputusan 3-1 itu kekal sehingga perlawanan tamat. Nasib berbeza dilalui juara empat kali, Kedah yang sekadar melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Felda United pada satu lagi aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh pemain import dari Brazil, Fernando Rodriguez menerusi sepakan penalti pada minit ke-69.

Perak menanti kunjungan Pahang pada 29 Jun ini di Stadium Perak, Ipoh, manakala Felda United bakal berdepan Kedah pada aksi timbal balik di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang pada 30 Jun. -Bernama

Artikel Berkaitan: