Muktamar Pas beri mandat teruskan kerjasama politik dengan UMNO

A
A
A

KUANTAN - Perwakilan di Muktamar Tahunan Pas ke-65 hari ini sebulat suara bersetuju memberi mandat kepada pimpinan Pas Pusat dan Majlis Syura Ulamak agar memeterai taawun dan tahaluf siyasi dengan UMNO dan parti-parti politik lain.

Usul tersebut juga menggesa agar panduan asas, syarat-syarat dan batas kerjasama politik dengan parti-parti politik tersebut digariskan, manakala hubungan parti-parti komponen Gagasan Sejahtera hendaklah diperkasakan.

Wakil Dewan Ulamak Pas Pusat, Asri Daud ketika membentangkan usul tersebut berkata, taawun tidak dimulakan oleh Pas sebaliknya ia adalah arahan daripada wahyu ALLAH dan suruhan hadis.

"Suasana hari ini menunjukkan Islam semakin terpinggir. Maka, pendekatan arahan ALLAH melalui taawun semakin dikesampingkan.

"Pas sebagai parti Islam dan dakwah mengangkat kembali taawun dan meletakkan pendekatan yang ampuh untuk menyedarkan masyarakat. Bahawa Pas adalah parti yang boleh menerima dan ingin menyelamatkan negara daripada apa saja bala dan untuk menyatukan orang Islam dan bukan Islam," katanya.

Sementara itu, perwakilan Rembau, Bazli Bakar ketika membahaskan usul itu berkata, beberapa penjelasan diperlukan berkenaan taawun.

"Wujud jurang perbezaan besar mengenai makna taawun. Kita kena jelas sama ada nak taawun atau nak tahaluf siyasi," katanya.

Perwakilan Bangi, Shafie Ngah pula berkata, perlu ada garis panduan kepada akar umbi untuk dipatuhi berkenaan kerjasama dengan UMNO.

Artikel Berkaitan:

"Jangan sampai kita masuk rumah tangga orang atau orang masuk rumah tangga kita," katanya.

Selesai perbahasan, semua perwakilan kemudiannya berdiri dan bertakbir bagi menyatakan sokongan terhadap usul tersebut.

Selain itu, satu usul agama dan antarabangsa turut diterima sebulat suara selepas dibahaskan.

Usul agama mengusulkan agar Pas Pusat menggesa dan mendesak kerajaan mengkaji semula Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 298A Akta Kanun Keseksaan supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap pesalah yang menghina Islam dan Rasulullah.

Manakala, usul antarabangsa mengusulkan supaya gesaan dibuat agar kerajaan Malaysia konsisten dalam mempertahan dan memperjuangkan nasib serta hak umat Islam sejagat, mengutuk diskriminasi, penindasan dan kezaliman ke atas umat Islam.