Terperangkap hampir sehari dalam hutan

Dua mangsa ditemui selamat dan berjaya dibawa turun selepas sehari dilaporkan hilang. - Foto ihsan bomba
Dua mangsa ditemui selamat dan berjaya dibawa turun selepas sehari dilaporkan hilang. - Foto ihsan bomba
A
A
A

PAGOH - Dua lelaki ditemui selamat selepas terperangkap hampir sehari di Hutan Simpan Bukit Maokil, Bukit Kepong di sini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, mangsa berusia 55 dan 40 tahun itu berjaya ditemui jam 9.45 pagi tadi setelah dilaporkan hilang sejak jam kira-kira 9 pagi semalam.

Menurutnya, kedua-dua mereka ditemukan selamat di sebalik batang pokok berdekatan lokasi terakhir mangsa.

“Sebelum itu, dua mangsa telah mendaki bukit di Hutan Simpan Bukit Maokil bersama tiga lagi individu iaitu bapa kepada salah seorang daripada mereka dan dua lagi pekerja. Tujuannya adalah untuk melihat tender bagi projek pertanian.

“Kelima-lima mereka memulakan pendakian dari Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di penempatan orang asli di Kampung Sawah Laku.

"Bagaimanapun selepas dua kilometer berjalan, dua mangsa kemudian ingin berpatah balik kerana tak mampu meneruskan perjalanan,” katanya ketika dihubungi.

Zaharudin berkata, tiga lagi individu termasuk bapa mangsa berusia 71 tahun terus mendaki sementara anaknya berusia 40 tahun dan seorang lagi rakan berusia 55 tahun itu keluar dari hutan.

“Bagaimanapun, setibanya di tempat kenderaan yang diparkir berhampiran PKTK jam 12 tengahari, bapa mangsa mendapati anaknya dan rakannya tidak berada di situ. Mereka berusaha mencari dan masuk semula ke lokasi namun dua mangsa tidak ditemui.

“Setelah mencari sehingga jam 4 petang, bapa itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Lenga sebelum satu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, kedua-dua mangsa berjaya ditemui hari ini jam 9.45 pagi di sekitar lokasi terakhir mereka iaitu kira-kira dua kilometer dari PKTK.

“Temubual awal telah dijalankan oleh Ketua Balai Polis Lenga, Sarjan Mejar Zakaria Abu Bakar dan kedua-dua mereka memaklumkan telah sesat apabila tersilap jalan dan gagal mencari jalan keluar.

“Mangsa kemudian dibawa turun oleh pasukan penyelamat untuk menerima rawatan awal,” katanya.

Zaharudin berkata, seramai 30 agensi terdiri daripada Pasukan Polis Diraja Malaysia, bomba, Agensi Pertahanan Awam termasuk orang asli di kawasan itu terlibat dalam operasi SAR.