Hampir 11 bulan hilang, remaja 17 tahun ditemui semula

Seorang remaja perempuan yang hilang sejak 11 Julai tahun lalu ditemui dalam keadaan baik tengah malam semalam. - Foto hiasan 123RF
Seorang remaja perempuan yang hilang sejak 11 Julai tahun lalu ditemui dalam keadaan baik tengah malam semalam. - Foto hiasan 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Seorang remaja perempuan di bawah umur yang hilang sejak 11 Julai tahun lalu ditemui dalam keadaan baik tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa berusia 17 tahun dipercayai telah mengikut suspek berusia 23 tahun kerana cinta.

Mohamad Fakhrudin berkata, suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai besi buruk dipercayai bercinta dengan mangsa sejak 2014, namun suspek mengesyaki mangsa mempunyai teman lelaki lain.

"Hasil maklumat dan risikan dijalankan, pihak polis berjaya menahan suspek di sebuah rumah kampung di daerah Banting, Selangor serta berjaya menemui semula mangsa di Jalan Bukit Perah, Kampung Olak Lempit, Banting.

"Meskipun mangsa sememangnya dipercayai mengikut suspek, tetapi disebabkan mangsa berumur 17 tahun, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 52 Akta Kanak-Kanak (AKK) 2001.

"Kes ini juga akan dibuka di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan ekoran suspek telah mengugut pengadu (ibu mangsa) bahawa mangsa akan pulang ke rumah selepas pengadu sudah menjadi mayat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohamad Fakhrudin berkata, sejak hilang pada tahun lalu, mangsa tinggal bersama suspek di sebuah stor besi buruk di Banting, Selangor.

Beliau berkata, sepanjang dilaporkan hilang, mangsa tidak pernah menghubungi keluarganya.

Tambahnya lagi, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sekiranya berlaku perlakuan seksual sepanjang tempoh dilarikan.

Menurutnya, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ditahan reman selama dua hari sehingga 10 Mei.

Pada 11 Julai tahun lalu sekitar 1.30 petang, pihak polis IPD Petaling Jaya menerima laporan daripada seorang wanita warganegara tempatan menyatakan anak perempuannya berusia 17 tahun telah dilarikan oleh teman lelaki.

Suspek warganegara tempatan itu telah bertindak melarikan gadis di bawah umur tersebut di kawasan perumahan Desa Mentari, Petaling Jaya, Selangor.