Pihak pendakwaan diperintah serah gambar asal laporan bedah siasat

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan pihak pendakwaan kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Nazrin Hassan menyerahkan gambar asal laporan bedah siasat pertama kes itu kepada peguam mewakili tertuduh, Samirah Muzaffar pada 15 Julai ini.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman mengeluarkan perintah itu setelah mendengar hujahan peguam bela, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah yang kurang berpuas hati dengan kualiti gambar diberikan kepadanya oleh pihak pendakwaan.

Ab Karim turut menyatakan bahawa pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Datuk Salim Soib@Hamid perlu memaklumkan kepada mahkamah sekiranya mereka tidak menyerahkan gambar itu pada tarikh yang ditetapkan.

Terdahulu, Shafee dalam hujahannya memberitahu mahkamah bahawa pihaknya telah memohon gambar asal itu sejak April lepas namun masih gagal diberi oleh pihak terlibat sehingga kini.

“Kami mahu gambar asal itu kerana gambar yang diberikan (oleh pihak pendakwaan) hanyalah gambar salinan fotokopi, tidak jelas dan kabur. Gambar itu kami mahu hantar kepada pakar patologi yang kami lantik untuk ‘pandangan kedua’ termasuk berkaitan kesan letupan,” katanya.

Salim pula berkata, pihaknya akan merujuk dahulu kepada pegawai penyiasat kes berkenaan untuk menyediakan gambar berkenaan dan memberi jaminan ia akan diserahkan kepada pihak pembelaan sebelum perbicaraan kes pembunuhan itu bermula pada September ini.

Beliau turut memberitahu mahkamah bahawa pihaknya telah menyerahkan beberapa dokumen antaranya laporan kimia, laporan Suruhanjaya Tenaga, laporan-laporan polis dan beberapa laporan lain kepada pihak pembelaan pada hari ini.

Peguam bela bagi seorang daripada dua tertuduh juvana dalam kes itu, S. Suresh pula memohon kepada mahkamah supaya pihak pendakwaan menyerahkan senarai saksi yang akan dipanggil sepanjang perbicaraan kes itu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Salim berkata, senarai penuh saksi pendakwaan kes itu hanya akan diberikan oleh pihaknya kepada pihak pembelaan sebelum perbicaraan bermula.

Samirah termasuk dua tertuduh juvana dalam kes tersebut selain beberapa anggota keluarga wanita itu hadir pada prosiding pengurusan kes berkenaan hari ini

Hakim Ab Karim kemudiannya menetapkan 26 Julai ini untuk pengurusan kes. - Bernama