Dua guru nyaris langgar pokok tumbang

Keadaan kereta yang terbabit dalam kemalangan tersebut hari ini.
Keadaan kereta yang terbabit dalam kemalangan tersebut hari ini.
A
A
A

JERANTUT - Dua orang guru berdepan detik mencemaskan selepas nyaris terlanggar pokok tumbang di Felda Lepar Utara hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.05 pagi itu, dua guru terbabit dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Lepar Utara, Nurul Jannah Samsuddin, 30 dan Norhayati Abd Manaf, 38 terselamat dan tidak mengalami kecederaan.

Nurul Jannah yang memandu Perodua Myvi memberitahu, keretanya dilanggar oleh Nissan Almera yang dipandu oleh Norhayati ketika mengelak pokok tumbang di atas jalan raya.

"Kami berdua datang dari arah Felda Kota Gelanggi 2 menghala ke Felda Lepar Utara dan kereta saya berada di hadapan pada ketika itu.

"Saya sudah nampak pokok tumbang yang menghalang laluan dari arah Felda Lepar Utara namun pada masa yang sama ada serpihan kayu pada laluan saya," katanya.

Menurutnya, dia pada mulanya mengelak serpihan kayu menyebabkan keretanya berada di laluan bertentangan sebelum masuk semula ke laluan asal.

"Ketika saya hendak masuk ke kiri semula, tiba-tiba bahagian belakang kereta dilanggar oleh Nissan Almera terbabit menyebabkan kereta saya terbabas ke dalam longkang di bahu jalan," ujarnya.

Dia memberitahu, Norhayati kemungkinan berada pada jarak dekat di belakang keretanya ketika dia membrek untuk masuk ke kiri menyebabkannya tidak sempat mengelak dan berlaku perlanggaran tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah kami semua selamat namun kereta mengalami kerosakan," jelasnya.

Difahamkan, pokok berkenaan dipercayai tumbang ekoran hujan lebat beserta ribut yang melanda daerah ini malam tadi dan dua lagi kejadian pokok tumbang turut berlaku di Jalan Jerantut-Felda Padang Piol dan Jalan Jerantut-Benta.