Iskandar beri laluan kepada calon berprofil tinggi

Iskandar
Iskandar
A
A
A

KUANTAN - Persaingan jawatan Naib Presiden Pas menyaksikan kejutan apabila penyandangnya, Datuk Ir Iskandar Samad menolak pencalonan daripada perwakilan.

Sekali gus, memberi laluan kepada muka baharu, Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkannya.

Keputusan itu diumumkan pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat, Dr. Mohd. Fuad Mohd Salleh apabila memaklumkan satu dari empat pencalonan bagi mengisi tiga jawatan itu tidak disahkan.

“Kami menerima empat pencalonan dan seorang tidak mengesahkan pencalonan untuk bertanding, jadi tiada pertandingan bagi jawatan itu

“Senarai calon dimuktamad pada 12 Jun lalu, beliau (Iskandar) tolak pencalonan, kita anggap dia tak berminat,” katanya ketika taklimat pemilihan di Muktamar Tahunan Pas kali ke-65 di Stadium Sukpa, di sini, hari ini.

Iskandar sebelum ini diumumkan layak bertanding jawatan itu bersama tiga calon lain iaitu dua lagi penyandang jawatan itu iaitu Datuk Idris Ahmad dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Keputusan Iskandar itu menyaksikan pencabar baharu iaitu Ahmad Samsuri menang tanpa bertanding selain, Mohd Amar dan Idris kekal di posisi tersebut.

Sementara itu, Iskandar ketika ditemui media memaklumkan keputusan beliau menolak pencalonan untuk kekal sebagai Naib Presiden kerana ingin memberi laluan kepada calon lain yang berprofil tinggi.

Artikel Berkaitan:

“Dua penggal saya pegang, bagilah peluang kepada orang lain. Naib Presiden ini dia perlu berprofil tinggi, sebagai Menteri Besar Terengganu saya rasa beliau (Samsuri) calon yang berprofil tinggi. Kita ada Timbalan Menteri Besar, Mohd Amar, Idris yang merupakan orang lama, kita perlu barisan kepimpinan yang sedemikian,” katanya.

Bagaimanapun, Iskandar turut mengesahkan pencalonannya bertanding sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat.

“Saya dicalonkan sebagai Naib Presiden dan sebagai AJK Pas Pusat dan saya pilih bertanding sebagai AJK Pas pusat,” katanya.