FGV kekal syarikat berprestasi tinggi walau tanpa tanah Felda

FGV
FGV
A
A
A

KUALA LUMPUR - FGV Holdings Bhd akan kekal di landasan untuk menjadi syarikat berprestasi tinggi walaupun jika pemegang sahamnya yang lain bersetuju mengembalikan tanah yang diuruskan di bawah Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dengan syarikat induk, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

FGV berkata, mereka memiliki kesemua kilang sawit dan kilang penapisan memandangkan ia bukan sebahagian daripada perjanjian LLA dan akan kekal dengan syarikat perladangan itu.

“Kesemua kilang sawit dan penapisan terletak berhampiran tanah di bawah LLA. Ini bermaksud, untuk tujuan logistik dan ekonomi, tandan buah segar (FFB) yang dihasilkan daripada tanah di bawah LLA masih perlu diproses di kilang sawit FGV,” katanya dalam surat kepada pemegang saham yang dimaklumkan kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

Dua pertiga daripada FFB yang diproses di kilang sawit FGV diperoleh daripada pihak ketiga dan pekebun kecil, termasuk peneroka Felda. Sehubungan itu, bekalan yang konsisten adalah terjamin.

Selain itu, komponen kos yang terbesar dalam FGV ketika ini ialah operasi huluan dengan kos kakitangan berjumlah sehingga RM998 juta, fi tetap bagi tanah di bawah LLA berjumlah RM248 juta dan kira-kira RM300 juta lagi bagi kos penanaman semula.

FGV memiliki jumlah simpanan tanah sebanyak 439,725 hektar dengan 351,000 hektar telah dipajak daripada Felda di bawah LLA.

Syarikat itu komited untuk membayar RM248 juta setahun kepada syarikat induknya untuk memajak tanah tersebut dengan 291,000 hektar ditanam dengan kelapa sawit. - Bernama

Artikel Berkaitan: