Rakaman video gaduh tular di laman sosial

Orang awam merakam aksi pergaduhan dua lelaki hadapan deretan kedai di Jalan Dataran Cheras 2, Cheras Traders, Cheras Balakong. Gambar kanan: Seorang lelaki berlumuran darah dipercayai terlibat dalam kes pergaduhan hadapan deretan kedai di Jalan Dataran Cheras 2, Cheras Traders, Cheras Balakong.
A
A

KAJANG - Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang menerima laporan rakaman video seorang lelaki berlumuran darah dipercayai akibat dipukul seorang lagi lelaki di hadapan deretan kedai di Jalan Dataran Cheras 2, Cheras Traders, Cheras Balakong.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima laporan rakaman yang tular di media sosial melalui WhatsApp pada jam 12.20 tengah hari.

“Laporan polis telah dibuat oleh anggota balai pertanyaan di Balai Polis Tun Hussien Onn berdasarkan insiden dan video yang tular.

“Walau bagaimanapun, mangsa yang terlibat dalam insiden ini masih belum membuat laporan polis. Pihak polis akan bertindak dan menjalankan siasatan berdasarkan laporan maklumat pertama yang telah dibuat,” katanya melalui kenyataan media tadi.

Ahmad Dzaffir berkata, pihaknya menggesa mangsa dan orang ramai yang tahu berhubung kejadian ini untuk tampil serta memberikan keterangan berkaitan insiden ini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pihak IPD Kajang atau Pegawai Penyiasat Inspektor Hafizah di talian 0166060955,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323/160 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencederakan dan gaduh gempar.