'Kejadian kedua menimpa anak saya'

Tosrin bergambar dengan pelajar SA Taman Mawar, Pasir Gudang yang dimasukkan ke HSI.
Tosrin bergambar dengan pelajar SA Taman Mawar, Pasir Gudang yang dimasukkan ke HSI.
A
A
A

JOHOR BAHRU - "Ini adalah kejadian kedua menimpa anak saya selepas insiden pencemaran Sungai Kim-Kim yang lalu," kata Masni Salawati Nazar, 39.

Menurut Masni Salwati, keadaan anaknya, Ananurzawanah Abdul Wahid, 9, kali ini lebih serius hingga dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini semalam.

Ananurzawanah antara enam murid Sekolah Agama (SA) Taman Mawar, Pasir Gudang di sini yang dirawat di hospital berkenaan selepas mengalami sesak nafas dan muntah-muntah di sekolah itu petang semalam.

"Anak saya mengalami muntah dan pening. Dia ada beritahu ada juga kawan-kawannya yang pengsan.

"Masa kejadain pencemaran Sungai Kim Kim sebelum ini, dia turut berasa loya dan hampir sesak nafas namun tidak dimasukkan ke wad," katanya.

Menurutnya, dia terkejut dengan kejadian menimpa anak bongsu daripada tiga beradik itu yang juga antara 15 individu yang terjejas dalam insiden berkenaan.

"Kebetulan ketika kejadian saya mahu mengambilnya pulang dari sekolah kira-kira jam 3.30 petang. Bagus dengan tindakan pantas pihak berkenaan yang memandikan dan membersihkan anak saya serta rakannya.

"Mungkin mereka sudah ada pengalaman kejadian Sungai Kim Kim pada Mac lalu. Anak saya kemudiannya bergantung kepada bekalan oksigen yang disediakan dalam ambulans dari sekolah hinggalah sampai di HSI," katanya.

Artikel Berkaitan:

Masni Salawati berkata, anaknya kini berada dalam keadaan stabil dan sudah dibenarkan keluar oleh pihak hospital.

"Dia juga tidak trauma dengan kejadian menimpanya namun sebagai ibu saya berharap pihak berkuasa memantau kes berkenaan dan mengambil tindakan sesuai," katanya.

Tosrin (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Ananurzawanah sambil diperhatikan Masni Salawati (kiri).
Tosrin (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Ananurzawanah sambil diperhatikan Masni Salawati (kiri).

Terdahulu, Ananurzawanah bersama enam rakannya yang dimasukkan ke HSI menerima kunjungan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Tosrin Jarvanthi.

Tosrin berkata, pihaknya difahamkan seramai enam mangsa yang dimasukkan ke wad akan dibenarkan keluar pada hari ini atau dalam tempoh terdekat.

"Saya mendapati keadaan kesemua mangsa stabil dan mampu berkomunikasi dengan baik dan boleh bergerak.

"Majlis Agama Islam Johor (Maij) menyerahkan sumbangan RM400 kepada setiap mangsa yang dimasukkan ke wad, manakala mangsa lain yang turut terjejas juga akan diserahkan sumbangan RM200 menerusi kunjungan ke rumah mereka dalam tempoh terdekat," katanya.

Menurutnya, setakat ini, tiada maklumat diterima tentang penutupan sekolah pada Ahad ini dan sesi persekolahan berjalan seperti biasa.

"Saya berasakan sekiranya keadaan kualiti udara baik tiada keperluan untuk tutup sekolah namun kami juga akan mendapatkan maklumat daripada Exco berkaitan bagi memastikan keadaan selamat atau tidak daripada semasa ke semasa," katanya.