Lot kedai kosong didakwa jadi 'asrama' pendatang asing

Hasbi Yullah menunjukkan dokumen mengenai pembelian kedai yang diceroboh individu tidak bertanggungjawab di Taman Muara Esbee.
Hasbi Yullah menunjukkan dokumen mengenai pembelian kedai yang diceroboh individu tidak bertanggungjawab di Taman Muara Esbee.
A
A
A

SUNGAI BULOH – Bukan sahaja diceroboh untuk dijadikan tempat penyimpanan barang, deretan lot kedai kosong di Taman Muara Esbee di sini turut didakwa menjadi ‘asrama’ pendatang asing.

Lebih dikesalkan, pemilik lot kedai terbabit tidak dapat menggunakan premis yang dibeli dan mendakwa ia diceroboh individu tidak bertanggungjawab sehingga lebih 10 tahun.

Wakil pembeli, Hasbi Yullah Mohamed Noh, 35, mendakwa, lot kedai milik bapanya yang dibeli sejak 16 tahun lalu turut diceroboh dan dipasang penutup tanpa kebenaran.

Menurutnya, bukan sahaja kedai miliknya bahkan deretan kedai lain yang masih kosong seolah-olah berpenghuni dengan diletakkan barang jualan.

“Kedai milik keluarga kami yang paling kiri sekali ditutup dengan zink di hadapan premis sehingga menimbulkan tanda tanya.

“Kami hairan bagaimana individu terbabit boleh memasang sesuka hati penutup di depan premis sedangkan ada pemilik?

“Pembeli pun takut nak tegur sebab bimbang keselamatan diri selain kawasan itu agak tersorok dari pandangan orang ramai,” katanya.

Hasbi Yullah yang berniaga songkok di Kedai Masjid Jamek Sungai Buloh lebih 10 tahun itu berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat memantau kawasan itu.

Artikel Berkaitan:

“Hanya PBT saja ada kuasa nak buat siasatan, serbuan atau penguatkuasaan di premis kedai terbabit. Saya nak guna kedai sendiri untuk besarkan perniagaan pun tak boleh.

“Lagi pun difahamkan, kawasan kedai bersebelahan Pasar Awam Sungai Buloh ini pun dikatakan sering berlaku jenayah.

“Saya sudah panjangkan aduan kepada pihak berwajib termasuk pejabat wakil rakyat kawasan namun belum ada tindakan,” katanya.

Deretan lot kedai yang didakwa menjadi port asrama PATI dan stor simpanan. Gambar kanan: Hasbi Yullah menunjukkan geran dan pelan tapak kedai terbabit.
Deretan lot kedai yang didakwa menjadi port asrama PATI dan stor simpanan. Gambar kanan: Hasbi Yullah menunjukkan geran dan pelan tapak kedai terbabit.

Mengulas lanjut mengenai cadangan penyelesaian, Hasbi Yullah berharap kerajaan negeri dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk di sini.

“Kami terpaksa tanggung rugi sebab tak dapat nak gunakan kedai sendiri bila diceroboh macam ni tapi sampai bila nak menanggung? Dah beli tapi tak boleh guna.

“Saya harap pihak berwajib dapat buka mata selesaikan isu ini dan kalau boleh, ambil alih bangunkan kawasan ini atau beri pampasan atau gantian kedai lain kepada kami.

“Saya pun risau kalau kedai jadi port benda tak baik sebab kawasan ni gelap pada waktu malam,” katanya kepada Sinar Harian.