Adly sedia berdebat dengan ketua pembangkang

Adly Zahari
Adly Zahari
A
A
A

MELAKA TENGAH - Ketua Menteri, Adly Zahari bersedia berdebat dengan mana-mana pihak termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Idris Haron untuk memberikan penjelasan pelbagai isu terutama yang dipertikaikan pihak berkenaan.

Adly yang juga Pengerusi PH negeri berkata, beliau bersedia mempertimbangkan dan menyahut cabaran seperti yang disuarakan bekas Ketua Menteri Melaka sebagai kewajaran beliau untuk memberi pencerahan berkenaan segala isu berbangkit dan dasar-dasar yang dibawa kerajaan.

"Peribadinya saya bersedia menerima jemputan undangan berdebat dengan beliau di mana tempat dan masa demi menyampaikan mesej kerajaan.

"Sebagai mewakili kerajaan negeri secara peribadi bila-bila masa saya bersedia," katanya ketika diminta mengulas cadangan Pemuda UMNO Jasin yang mempelawa Adly untuk menyertai debat terbuka bersama Idris berhubung beberapa isu termasuk perumahan rakyat yang menjadi bualan hangat di laman sosial Facebook.

Terdahulu, Akmal, memaklumkan cadangan itu sudah dikemukakan kepada kedua-dua tokoh berkenaan beberapa hari lalu, di mana Idris dilaporkan sudah bersetuju untuk bermuzakarah atau berdebat dengan Adly.

Dalam perkembangan lain, Adly berkata, kerajaan negeri menyambut baik dan positif dengan penubuhan hal ehwal agama di negeri-negeri di bawah naungan baginda iaitu Pahang, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, beliau yakin inisiatif penubuhan Majlis Munaqasyah dapat membantu dalam hal ehwal agama terutama menyeragamkan peranan dan tindakan agensi agama di peringkat negeri serta menyelesaikan isu berkaitan umat Islam.

"Ia akan diadakan pertemuan dan perbincangan secara berkala setiap tiga bulan sekali bagi membangkitkan pelbagai isu berkaitan umat Islam kepada Seri Paduka Baginda, seterusnya membolehkan baginda membincangkan ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja," katanya.

Artikel Berkaitan:

[ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda UMNO Jasin pelawa Adly, Idris berdebat]