Siasatan secara profesional kes polis trafik lepas tembakan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Polis memberi jaminan siasatan berkaitan kes seorang anggota polis trafik didakwa melepaskan tembakan sehingga mengakibatkan seorang lelaki cedera di bahagian lengan kiri dalam kejadian di Jalan Lencong Timur, di sini, Rabu lepas akan dilakukan secara profesional.

Ketua Polis Kedah Datuk Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya akan melakukan siasatan secara profesional, telus dan adil demi memastikan tiada pihak yang teraniaya dalam kejadian berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kejadian bermula apabila dua lelaki yang menaiki motosikal jenis Modenas telah melanggar lampu isyarat di Taman Pelangi, Jalan Kuala Kedah, di sini.

"Susulan itu, anggota trafik yang berada di kawasan untuk telah bertindak mengejar dua lelaki tersebut.

"Bagaimanapun, mereka didapati enggan memberhentikan motosikal sebaliknya terus menunggang secara berbahaya termasuk melanggar beberapa lagi lampu isyarat,"katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, siasatan mendapati dua lelaki itu turut menghimpit motosikal yang dinaiki anggota polis sehingga boleh mendatangkan bahaya terhadap dirinya dalam usaha mereka melepaskan diri.

"Dengan tujuan untuk memberhentikan motosikal ditunggangi dua lelaki itu, anggota polis berkenaan telah melepaskan satu tembakan yang disasarkan di bahagian tayar belakang motosikal," katanya.

Zainuddin berkata, tindakan itu terpaksa diambil memandangkan dua lelaki berkenaan bertindak dalam keadaan mencurigakan selepas tidak mahu memberhentikan motosikal dan mendatangkan bahaya kepada anggota polis serta orang awam.

Artikel Berkaitan:

"Namun, anggota polis mendapati tembakan tersebut telah mengenai lengan kiri pembonceng motosikal setelah motosikal berhenti dan pemeriksaan dijalankan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, siasatan terperinci berkait kes ini sedang dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Malah, kita memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara profesional, telus dan adil demi memastikan tiada pihak teraniaya," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang tukang paip, Mohd Alif Anuar, 21, yang membonceng motosikal ditunggang rakannya dalam perjalanan dari Kuala Kedah menuju ke tempat kerja mereka di Alor Mengkudu, di sini, cedera didakwa akibat ditembak polis.