Polis tahan 54 penagih, pengedar dadah di Kemaman

Kes dadah
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis menahan 54 pengedar dan penagih termasuk 41 suspek yang dikehendaki bagi tujuan pendakwaan membabitkan kes penyalahgunaan dadah.

Kesemua mereka ditahan dalam Ops Bersepadu Narkotik yang dijalankan selama dua hari bermula 18 Disember lalu membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu dan Bahagian Siasatan Narkotik Daerah Kemaman.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Roslan Tahir berkata operasi itu dijalankan bagi mengesan mereka yang gagal hadir setelah diberi jaminan polis antaranya membabitkan kes memasukkan dadah ke dalam badan yang disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Sebanyak empat pasukan yang terdiri daripada enam pegawai dan 35 anggota narkotik terlibat dalam operasi tersebut.

"Polis juga berjaya menahan 13 suspek lain bersama rampasan dadah jenis syabu, pil kuda, heroin dan ganja. Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk pemeriksaan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Sek 6 Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam kenyataan hari ini.

Roslan berkata 41 suspek yang dikehendaki itu, telah dituduh di mahkamah manakala selebihnya direman selama seminggu untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata operasi seumpama itu akan terus dijalankan dalam usaha membanteras gejala penagihan dan pengedaran dadah yang dipercayai dilakukan oleh mereka yang ingkar jamin.- Bernama.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia