Polis kuatkuasa penggunaan T-Baton

Allaudeen (barisan depan, tengah) merakam gambar kenangan bersama peserta LDP T- Baton siri 1/2019 di pekarangan IPK Terengganu selepas Majlis Penutupan LDP T-Baton hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu akan kuatkuasakan penggunaan T-Baton sebagai senjata yang wajib digunakan oleh semua anggota semasa bertugas bermula tahun ini.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, bermula tahun ini, semua anggota terutamanya yang bertugas di Unit Rondaan Bermotor (URB) dan Unit Kereta Peronda (MPV) Polis di seluruh negeri dibekalkan dengan senjata ini.

"Kita sudah edarkan sebanyak 1,204 T-Baton di setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini termasuk di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu iaitu 147 di IPK, 320 (IPD Kuala Terengganu), 251 (IPD Kemaman), 196 (IPD Dungun), 131 ( IPD Besut), 22 (IPD Marang), 66 ( IPD Setiu) dan 71 di IPD Hulu Terengganu.

"Setiap anggota terutama yang bertugas di bawah Unit URB dan MPV akan dibekalkan setiap seorang satu T- Baton ini untuk digunakan semasa bertugas.

"Penggunaan alat T-Baton mampu meningkatkan kewibawaan pasukan polis ketika menjalankan tugas selain penggunaan senjata ini dalam sebarang tangkapan untuk melawan penjenayah dilihat mampu meminimumkan kecederaan yang berlaku kepada penjenayah itu.

"Ini sekali gus mengurangkan kadar risiko ke atas penggunaan senjata api seperti pistol," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) T-Baton Unit MPV dan URB Kontinjen Terengganu siri 1/2019 di IPK) Terengganu, di sini hari ini.

Katanya, penggunaan T-Baton juga dapat mengelakkan pelbagai tohmahan yang sering dilemparkan kepada anggota polis sewaktu menjalankan tangkapan.

Allaudeen berkata, bagaimanapun pengguna T-Baton perlu memiliki pemikiran waras dan rasional tanpa dikuasai emosi agar alat berkenaan dapat diaplikasikan secara berhemah dalam apa jua situasi.

Kursus asas T-Baton siri 1/2019 itu disertai seramai 29 peserta dari Unit URB dan MPV melibatkan seluruh IPD di negeri ini.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia