Pusat judi berselindung sebalik kedai dobi

Noorzainy (tengah) menunjukkan pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk judi haram yang dirampas dalam 11 serbuan kelmarin.
A
A

KEPALA BATAS - Sebanyak 15 premis diperiksa termasuk kedai dobi dan alat telekomunikasi dalam 11 serbuan kerana disyaki digunakan ahli sindiket untuk menjalankan kegiatan judi ekor dan perjudian dalam talian secara haram.

Ketua Polis Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan polis pada di Kepala Batas dan Butterworth dalam Op Dadu selama empat jam bermula jam 2 petang, semalam.

"Seramai 21 individu ditahan membabitkan 18 lelaki dan tiga wanita berusia 17 hingga 70 tahun kerana disyaki terlibat dalam kegiatan judi nombor ekor dan judi online haram. Mereka ini berselindung di sebalik premis lain seperti kedai telekomunikasi dan kedai dobi bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

"Mereka juga didapati bergerak secara 'mobile' di kedai-kedai kopi untuk bertemu pelanggan. Siasatan mendapati, sindiket ini aktif antara awal pagi sehingga jam 7 malam, setiap Rabu, Sabtu dan Ahad (hari keputusan nombor ekor)," katanya pada sidang media hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas pelbagai peralatan yang disyaki digunakan bagi kegiatan itu termasuk wang tunai dipercayai bagi pertaruhan berjumlah RM4,507.

"Sebanyak 15 buah telefon bimbit dirampas daripada suspek selain 11 buah pencetak data mudah alih.

"Hasil siasatan, semua suspek mengakui terlibat dalam kegiatan berkenaan dan mereka akan direman dua hingga empat hari bermula semalam untuk disiasat di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia