Maik salur RM32.4 juta zakat

Nik Mohd Azlan menyambut tetamu yang hadir di Majlis Jalinan Ukhwah Aidilfitri Bersama Maik di Kompleks Islam Lundang hari ini.
A
A

KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) mengagihkan RM32.4 juta wang zakat bagi tempoh suku pertama tahun ini.

Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi berkata, ia memberi manfaat kepada 31,975 asnaf di negeri ini.

“Tahun ini juga, Maik membantu 700 pelajar institusi pengajian tinggi yang miskin ketika Ramadan, menerusi agihan wang sebanyak RM140,000.

“Bagi Ramadan tahun ini, sebanyak RM24.48 juta wang zakat diagihkan kepada asnaf yang layak melalui program sedia ada antaranya agihan tunai secara terus dan bantuan hari raya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Jalinan Ukhwah Aidilfitri Bersama Maik di Kompleks Islam Lundang di sini hari ini.

Menurutnya, wang zakat itu disampaikan menerusi 21 kategori antaranya bantuan bulanan fakir miskin, kemahiran hidup, rawatan perubatan, persekolahan dan mualaf.

"Maik minta sokongan semua pihak supaya tiada golongan asnaf di negeri ini yang tercicir daripada mendapat sebarang bantuan.

"Jika terdapat golongan asnaf yang mungkin terlepas pandang diharapkan masyarakat tidak membuat spekulasi atau dihebohkan tanpa usul periksa tetapi memaklumkan perkara tersebut kepada pihak Maik," katanya.

Nik Mohd Azlan berkata, Maik berusaha untuk menjalankan tugas dengan terbaik namun diakui mempunyai kekurangan dalam menyalurkan sumbangan kepada semua pihak.