Seorang lagi mangsa keracunan arak meninggal dunia

Aidi Sham menunjukkan arak yang dirampas pada sidang media hari ini.
Aidi Sham menunjukkan arak yang dirampas pada sidang media hari ini.
A
A
A

PORT DICKSON - Seorang remaja perempuan yang mendapatkan rawatan di Unit ICU Hospital Port Dickson akibat terminum arak beracun disahkan meninggal dunia pagi tadi, menjadikan jumlah kematian seramai dua orang.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohammed berkata, mangsa, K Rathika, 26, dari Serting Hilir, Jempol disahkan meninggal dunia pada jam 8.36 pagi dan disyaki punca kematian adalah disebabkan keracunan arak.

Katanya, petang semalam terdapat seorang lagi wanita berusia 50-an dimasukkan ke Hospital Port Dickson kerana tidak sedarkan diri selepas minum arak dan dipercayai ada kaitan dengan kes yang sama.

"Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah Kuala Pilah untuk mendapatkan rawatan susulan.

"Menurut ahli keluarganya, mangsa tidak sedarkan diri selepas meminum arak dari jenama luar negara sebelum dibawa ke hospital," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan Polis, Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson, di sini hari ini.

Tambahnya, dua mangsa yang sebelum ini dimasukkan ke hospital kini dilaporkan stabil, namun seorang daripada mereka masih tidak sedarkan diri.

Dalam pada itu, Aidi Sham berkata, pihaknya telah menahan dua beranak di Taman Indah, Lukut yang dipercayai terlibat menjual arak tersebut kepada kesemua mangsa.

Artikel Berkaitan:

Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati suspek telah membeli sebanyak 24 tin arak berjenama Miludeer itu daripada seorang lelaki Cina berusia 40-an, dengan harga RM140, sebelum dijual semula kepada orang ramai.

"Kami bersama Pejabat Kesihatan Daerah telah membuat pemeriksaan di 19 kedai menjual arak sekitar daerah ini, dan merampas 13 tin minuman beralkohol yang diimport dari luar negara itu di salah sebuah premis di Lukut.

"Pemeriksaan akan dilakukan secara berterusan bagi memastikan tiada premis yang menjual arak jenama tersebut demi kepentingan pengguna," katanya.

Semalam media melaporkan, seorang lelaki warga Myanmar meninggal dunia, manakala tiga lagi masih mendapatkan rawatan di Unit ICU akibat mengalami keracunan methanol.