30 pegawai, anggota Briged Tengah PGA terkorban menentang komunis

A
A

KUALA LUMPUR - Tiga puluh pegawai dan anggota Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) terkorban sepanjang operasi menentang pengganas komunis antara tahun 70-an dan 80-an.

Mendedahkan perkara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Mastor Mohd Ariff berkata kebanyakan mereka yang terkorban itu disebabkan serangan hendap musuh.

“Apa dilakukan mereka ini sehingga terkorban tidak akan dapat dibalas dengan wang ringgit.

“Sesungguhnya pengorbanan pegawai dan anggota yang terkorban dalam mempertahankan tanah air tercinta ini amat dihargai dan dikenang setiap masa,” katanya ketika berucap pada sambutan Ulang Tahun Jubli Emas Penubuhan Briged Tengah PGA di Padang Kawad PGA, Cheras di sini hari ini.

Mastor berkata sepanjang 50 tahun penubuhannya, Briged Tengah PGA terlibat dengan 16 operasi menentang komunis, antaranya Operasi Sawadee Salam pada 1970 dan Operasi Paksi Tuan pada 1988.

Walaupun pada masa ini tiada lagi operasi menentang komunis, Mastor berkata Briged Tengah PGA kini terlibat dengan penugasan Op Nyah Selangor dan Op Nyah Johor yang terarah kepada membanteras penyeludupan dan pemerdagangan manusia.

“Selain itu, Briged Tengah PGA juga menjalankan penugasan bantuan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah yang melibatkan ketenteraman awam serta operasi lain seperti mencari dan menyelamat, bantuan kepada lain-lain agensi seperti Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pegawai dan anggota Briged Tengah PGA supaya bersikap profesional, berdisiplin serta berkhidmat dengan penuh ketaatan dan kesetiaan kepada negara tercinta dan tidak luntur semangat dalam menghadapi sebarang ancaman dari dalam mahupun luar.

Briged Tengah PGA ditubuhkan secara rasmi pada 12 Jun 1969 dengan nama Pasukan Polis Hutan (PPH) yang pada ketika itu mempunyai tiga batalion, Batalion 5, 6 serta 7 dan kini, ia dinaungi empat batalion di Semenyih, Selangor; Simpang Renggam, Johor; Bakri di Muar, Johor; dan Cheras.

Pada 1997 sempena penganugerahan panji-panji, nama PPH secara rasmi bertukar kepada PGA atau ‘General Operation Force’ (GOF). - Bernama