Pas angkat peranan ulama, tangani doktrin liberal, plural

Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz (kanan). - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz (kanan). - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUANTAN - Doktrin liberalisme dan pluralisma perlu ditangani agar masyarakat dapat diselamatkan daripada agenda penghapusan sistem hidup berpandukan agama.

Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, pada masa kini ancaman liberalisme dilihat tidak menghapuskan sumber agama, namun ia secara halus akan membebaskan manusia dari terikat dengan tuntutan agama.

"Akhirnya walaupun umat Uslam membaca al-Quran namun kefahaman terhadap al-Quran adalah berteraskan citarasa nafsu, bukan menerusi bimbingan perbincangan para ulama.

"Justeru di sinilah terletak peranan ulamak di mana Pas amat bertegas menjadikan ulamak sebagai identiti pemimpin umah agar sentiasa terikat dengan panduan wahyu Illahi.

"Dalam perkara yang memerlukan ketegasan, maka para ulamak akan bertegas supaya umat dapat diselamatkan daripada jalan yang menyeleweng," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira kira 680 perwakilan pada Muktamar Tahunan Dewan Ulamak Pas Pusat Kali Ke 58, di Wisma Belia Indera Mahkota di sini, sebentar tadi.

Menurutnya, peranan penting para ulamak di dalam Pas menunjukkan bagaimana ketegasan perjuangan parti itu terhadap perlaksanaan syariah di negara ini.

Mahfodz berkata, Pas yang menerajui perjuangan Islam dalam kancah politik di Malaysia meletakkan kedudukan para ulamak pada tempatnya dalam memandu hukum dan memberikan nasihat yang berpengaruh.

Artikel Berkaitan:

Ini dibuktikan dalam entiti khusus seperti Majlis Syura Ulamak serta Dewan Ulamak Pas.

"Perbincangan kepimpinan tertinggi parti juga turut dibahaskan menurut piawaian kedalaman ilmu hukum syarak agar nakhoda parti dapat memastikan perjalanan Pas sentiasa berada di landasan tepat.

"Peranan penting para ulamak di dalam Pas menunjukkan bagaimana perjuangan parti Pas tidak hanya terhenti setakat pilihan raya dengan pungutan suara majoriti semata-mata namun ia merupakan perjuangan merubah kefahaman rakyat daripada jahil politik Islam kepada memahami kerangka siyasah syar’iyyah," katanya.