'Sayang sangat baju pemberian ayah'

Suziana (kiri) menerima pencen faedah tanggungan disampaikan oleh Pengarah Perkeso Johor, Tong Sing Chuang di kediamannya dekat Kampung Lukut, semalam.
Suziana (kiri) menerima pencen faedah tanggungan disampaikan oleh Pengarah Perkeso Johor, Tong Sing Chuang di kediamannya dekat Kampung Lukut, semalam.
A
A
A

KOTA TINGGI - 'Anak bongsu paling rindukan arwah suami, " kata balu kepada lelaki yang maut akibat dihempap mesin memproses barangan elektrik apabila menceritakan keadaan anaknya selepas genap seminggu pemergian arwah suaminya itu.

Suziana Samsudin, 38, berkata, anak bongsunya, Muhammad Aliff Asyraaf, 4, mula rindu pada ayahnya selepas beberapa hari Aslan Mohamed Yasin meninggal dunia.

"Dia tahu ayahnya dah tak ada, cuma mungkin masa awal-awal dia masih belum terasa, jadi dia macam biasa sajalah. Dia pun masih kecil tak tahu apa-apa sangat. Selepas beberapa hari tak lihat ayahnya di rumah barulah dia rasa rindu.

"Pernah dia tak mahu mandi sebab dia tak mahu tanggalkan baju yang dibelikan arwah, sayang sangat baju itu. Dia memang selalu tidur bersama ayahnya. Bila jadi macam ini saya bawa dia ke kubur ayahnya untuk hilangkan rasa rindu," katanya.

Terdahulu, Suziana menerima Faedah Orang Tanggungan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang disampaikan oleh Pengarah Perkeso Johor, Tong Sing Chuang di kediamannya dekat Kampung Lukut, semalam.

Suziana berkata, dia amat bersyukur selepas menerima bantuan itu tambahan pula dia tidak bekerja.

Saya lega dapat bantuan, sebelum ini runsing juga sebab dua anak saya yang lain masih bersekolah.

"Ikutkan perancangan saya akan bekerja semula selepas anak bongsu kami besar sikit. Itu pesan arwah sementara ini duduk di rumah jaga anak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Laporan Sinar Harian 13 Jun lalu.
Laporan Sinar Harian 13 Jun lalu.

Dalam pada itu, Sing Chuang berkata, hasil semakan mendapati balu arwah Aslan merupakan orang berinsurans layak menerima kadar pencen bulanan sebanyak RM3,525.

Katanya, Suziana turut menerima bayaran pertama bagi faedah pengurusan mayat iaitu sebanyak RM2,000 dan pencen bulanan tersebut sepanjang hayat manakala anak-anaknya sehingga 21 tahun atau selepas tamat pengajian ijazah pertama.