11 PATI ditahan di Labuan

No Image Caption
A
A
A

LABUAN - Sebelas pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang penagih dadah ditahan dalam satu operasi bersepadu di Jalan Jati semalam.

Mereka yang ditahan terdiri daripada empat wanita dan tujuh lelaki berusia antara 25 hingga 35 tahun telah dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad berkata operasi di rumah kedai Jalan Jati adalah dengan kerjasama anggota Jabatan Imigresen dan tertumpu kepada usaha mencegah jenayah, menjejaki penagih dan pengedar dadah serta anggota pengganas.

“Bagaimanapun, dalam operasi kami hanya menangkap seorang penagih dadah,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama di sini hari ini.

Kes-kes berkaitan penahanan mereka disiasat di bawah Seksyen 15(1) (c) dan Seksyen 6 Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Muhamad Farid juga berkata empat kes pecah rumah direkodkan semasa minggu pertama Hari Raya Aidilfitri, melibatkan kerugian RM9,230.

“Kami juga merekodkan kemalangan maut sepanjang Op Selamat baru-baru ini,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: