Dua beradik tak sempat beli dadah

Nor Azmi (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barangan dirampas pada sidang media di IPD Sabak Bernam di sini hari ini.
Nor Azmi (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barangan dirampas pada sidang media di IPD Sabak Bernam di sini hari ini.
A
A
A

SABAK BERNAM - Kegiatan dua beradik membeli dadah dengan hasil mencuri pisang terbongkar apabila mereka ditahan dalam dua serbuan di Kampung Sungai Tengar di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, polis berjaya melumpuhkan kegiatan itu selepas pemilik kebun pisang berusia 30 tahun memaklumkan terdapat pencerobohan di kebunnya pada jam 2.30 petang.

Menurutnya, hasil kerjasama polis dan orang awam berjaya menahan suspek yang ketika itu masih berada di kebun pisang terbabit.

"Suspek tidak sempat melarikan diri kerana leka melonggok pisang yang ditebang untuk dijual bagi kegunaan belanja harian dan membeli dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini hari ini.

Nor Azmi berkata, hasil serbuan di kebun itu, polis menemui 13 tandan pelbagai jenis pisang bernilai RM600.

Katanya, penahanan lelaki itu turut membongkar kegiatan sama yang dilakukan abang suspek berusia 32 tahun.

"Kita berjaya menahan abang suspek pada jam 9.15 malam hari sama di sebuah rumah di Sungai Air Tawar," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati dua beradik yang juga penagih dadah itu aktif mencuri pisang sejak tiga bulan lalu.

Artikel Berkaitan:

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis Methaphtamine dengan suspek pertama miliki satu rekod lampau narkotik," katanya.

Katanya, dalam serbuan itu, polis turut merampas 13 tandan pisang, motosikal Honda Wave berserta gerabak, parang dan peralatan pengupas kelapa.

"Sehingga kini, suspek masih ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.