Kes gaduh di Flat Paya Nahu berpunca daripada 'mat rempit'

Adzli (kanan) melawat mangsa kemalangan yang mencetus insiden pergaduhan di Flat Paya Nahu hari ini.
A
A

SUNGAI PETANI - Insiden pergaduhan di Flat Paya Nahu sehingga mencederakan seorang kanak-kanak dipercayai berpunca daripada tindakan sekumpulan 'mat rempit' yang menunggang secara berbahaya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, perbuatan itu dikesan hasil siasatan ke atas mangsa kemalangan, Mirulaleena, 8 tahun.

Menurutnya, akibat kejadian yang berlaku 16 Jun lalu, Mirulaleena mengalami luka di bahagian muka, tangan dan kaki namun sudah dibenarkan pulang ke rumah selepas menerima jahitan.

"Puncanya ialah kemalangan jalan raya apabila dua penunggang motosikal menunggang dengan melakukan aksi berbahaya angkat tayar sehingga terlanggar mangsa yang sedang berjalan kaki.

"Kejadian itu telah menimbulkan kemarahan dan menyebabkan penunggang motosikal dipukul.

"Isunya apabila orang nampak, orang lihat ia melibatkan pergaduhan berlainan kaum, tanpa unsur periksa dan selidik, terus berlaku pergaduhan melibatkan lebih ramai individu," katanya ketika selesai melawat mangsa kemalangan hari ini.

Adzli berkata, pasukan polis yang menerima maklumat segera melakukan tangkapan ke atas tujuh individu yang dipercayai terlibat.

Bagaimanapun, dua remaja telah dibebaskan dengan jaminan polis kerana masih bawah umur.

Menurut Adzli, lawatan dilakukan hari ini bertujuan memantau keadaan persekitaran sekaligus membuktikan polis menjalankan siasatan secara adil dan saksama.

"Kita juga dimaklumkan bahawa beberapa penduduk pernah menegur kegiatan merempit di kawasan perumahan sebelum ini, namun dibalas dengan respon negatif," katanya.

Beliau berkata, pihaknya berjanji akan meningkatkan penguatkuasaan di kawasan terbabit selain mengkaji untuk menempatkan anggota secara statik sekiranya ada keperluan.

"Bila kita laksanakan penguatkuasaan ketat jadi kita harap masyarakat di sini perlu terima, kadang-kadang bila ketatkan penguatkuasaan, ada yang persoalkan," katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kejadian yang berlaku tidak mempunyai kaitan dengan isu perkauman seperti mana yang ditularkan.

"Bila ada ramai yang bertindak, yang tengok terus ambil tindakan, sepatutnya selidik dahulu, jangan bertindak melulu," katanya.

Dalam kejadian sama, seorang lelaki berusia 45 tahun luka di kepala dipercayai dipukul menggunakan kayu berpaku dalam insiden pergaduhan terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN Lima direman terlibat kes gaduh di Flat Paya Nahu