Pemilik diingatkan tidak ghairah jual tanah di Jelebu

Jelebu
Jelebu
A
A
A

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengingatkan pemilik tanah di daerah Jelebu supaya berhati-hati dan tidak ghairah menjual tanah berikutan pembangunan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di daerah itu tidak lama lagi.

Menurutnya, ini kerana dibimbangi ada pihak termasuk 'orang tengah' yang mengambil kesempatan berikutan limpahan ekonomi di daerah itu, kesan daripada pembangunan projek ECRL.

"Saya ingin mengingatkan penduduk terutama pemilik tanah supaya tidak terpengaruh dengan tawaran pihak tertentu yang mahu membeli tanah mereka walaupun mungkin bawa keuntungan segera. Saya minta mereka bersabar, kerana harga tanah di situ akan lebih baik dan tinggi.

"Jadi, saya berharap penduduk Jelebu dapat menyimpan harta (tanah) mereka dalam tempoh ini sehinggalah mereka benar-benar dapat keuntungan daripada pembangunan projek ECRL tersebut," katanya selepas majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Agensi-Agensi Agama Islam Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Mohamed Husein; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Mohd Zaidi Ramli dan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook baru-baru ini kerajaan memberi jaminan bahawa pampasan akan diberikan kepada pemilik tanah persendirian yang diambil bagi pembangunan projek ECRL.

Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban dan ADUN Chennah berkata, pampasan berkenaan akan ditentukan selepas pelan jajaran projek mega itu dimuktamadkan tahun ini sebelum dijangka memulakan proses pengambilan tanah tahun depan.

Mengenai projek ECLR itu, beliau berkata kerajaan negeri masih menunggu pelan jajaran projek mega itu dan kawasan mana jajaran itu terlibat.

Artikel Berkaitan:

"Cuma saya dimaklumkan akan ada satu stesen dibina dalam daerah Jelebu. Bagaimanapun, di mana lokasi stesen ini akan dibina, ia belum diputuskan lagi,” katanya.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada 12 April lalu mengumumkan projek ECRL akan disambung semula dengan kos lebih rendah susulan pemeteraian perjanjian tambahan (SA) di antara MRL dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Menurut kenyataan itu, kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL kini dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asalnya RM65.5 bilion. - Bernama