Abang belasah adik sehingga cedera

Abdul Rahim
Abdul Rahim
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang abang tergamak menendang dan membelasah adik lelakinya sehingga mengalami kecederaan tanpa diketahui punca, dalam kejadian di Kampung Padang Machang, Manir, di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 8 malam itu berlaku semasa mangsa, 21, sedang berehat di dalam bilik sebelum dikejutkan kehadiran suspek, 30-an, yang bertindak menendang pintu bilik sehingga pecah.

Menurut sumber, tanpa memberi peluang kepada mangsa untuk bertanyakan kenapa dia bertindak sedemikian, suspek terus menerkam ke arah adik lelakinya itu.

"Mangsa dalam keadaan masih terkejut dengan tindakan suspek tidak mampu berbuat apa-apa sehingga rela membiarkan dirinya ditendang dan dipukul sepuas hati.

"Bagaimanapun, dalam menahan kesakitan, mangsa sempat bertanyakan kenapa suspek bertindak sedemikian terhadapnya, tetapi langsung tidak diendahkan," katanya kepada Sinar Harian.

Sumber berkata, setelah puas membelasah adiknya sehingga tidak bermaya, suspek terus melarikan diri meninggalkan mangsa yang sedang menanggung kesakitan seorang diri.

"Akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan lengan kiri," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan /18A Akta Keganasan Rumahtangga 2012 kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.