Wabak denggi membimbangkan

Anggota MPSP membuat penyemburan asap bagi membanteras pembiakan nyamuk aedes.
Anggota MPSP membuat penyemburan asap bagi membanteras pembiakan nyamuk aedes.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Daerah Seberang Perai Tengah mencatatkan peningkatan wabak denggi yang membimbangkan apabila sebanyak 1,531 kes dilaporkan sepanjang tahun ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak lapan kematian dilaporkan di daerah ini selain mempunyai tujuh lokaliti kawasan khas (hotspot), empat lokaliti wabak tidak terkawal dan 17 lokaliti wabak terkawal sehingga 18 Disember lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Datuk Sr Rozali Mohamud berkata, di Seberang Perai Utara juga sebanyak 449 kes denggi dilaporkan dengan mencatatkan dua kematian dan 250 kes berlaku di kawasan Seberang Perai Selatan.

"Walaupun pelbagai langkah yang dilakukan MPSP namun wabak ini masih lagi berada dalam keadaan membimbangkan walaupun telah banyak siri gotong-royong dilakukan namun tidak mendapat kerjasama daripada penduduk dan orang awam.

"Memang kita telah banyak melakukan kerja-kerja pembersihan dan gotong-royong namun ia hanya dilakukan di sekitar luar kawasan rumah.

"Penduduk di Seberang Perai seharusnya sedar bahawa nyamuk aedes juga sebenarnya boleh membiak di dalam rumah dan mereka perlu memastikan kebersihan di dalam rumah selain tiada tempat takungan yang boleh menyebabkan nyamuk membiak," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penuh MPSP di sini semalam.

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir Rosnani Mahmod.

Rozali berkata, bagi mengatasi penularan wabak denggi di kawasan Seberang Perai pihaknya menubuhkan skuad pengendalian krisis denggi yang melibatkan 120 anggota daripada pelbagai jabatan untuk melakukan tindakan segera khususnya di kawasan hotspot dan kawasan wabak tidak terkawal.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, pihaknya turut menyusun strategi seperti menjalankan kerja anti larva, serta membantu menjalankan semburan asap serta mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk.

Katanya, skuad khas itu juga berperanan dalam memastikan kawasan yang terlibat bebas daripada wabak denggi dalam kadar segera namun kerjasama masyarakat setempat amat diperlukan untuk bersama-sama memerangi wabak berkenaan.

"Tujuh lokasi hotspot dikenal pasti antaranya Taman Siakap, Blok A Taman Impian Indah, Perkampung Berapit, Lengkok Tenggiri, Taman Impian Ria, Alma Estet dan paling membimbangkan di Pangsapuri Ampang Jajar.

"Selain itu, empat kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan wabak tidak terkawal ialah di Kebun Sireh, Taman Impian Indah,Blok B Apartmen Permata dan Taman Seri Impian," katanya.

Tambahnya, MPSP sentiasa komited menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan penyakit demam denggi di Seberang Perai bagi memastikan kesihatan orang ramai terjamin dan terpelihara daripada ancaman penyakit demam denggi.