Kawasan lapang jadi tapak pembuangan sampah haram

Andre (kiri) bersama penduduk meninjau lokasi sampah haram di jalan masuk kampung Kuantan di Jalan Gombak semalam.
Andre (kiri) bersama penduduk meninjau lokasi sampah haram di jalan masuk kampung Kuantan di Jalan Gombak semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penduduk mendakwa aktiviti pembakaran sampah terbuka di tapak sampah haram sepanjang 300 meter di jalan masuk ke Kampung Kuantan, Jalan Gombak di sini menyebabkan lebih 10 kali bomba dipanggil ke kawasan itu tahun lalu.

Seorang penduduk, Tan Kooi Hong, 71, berkata, orang luar mengambil kesempatan menjadikan kawasan itu sebagai tapak sampah haram kira-kira dua tahun selepas struktur bangunan tersebut dirobohkan.

"Lori bawa muatan sisa binaan, perabot, plastik dan berbagai-bagai sampah pada waktu tengah malam untuk mengelak aktiviti mereka dikesan. Ada antaranya membakar sampah itu apabila sudah penuh.

"Sudah banyak kali kami tegur jika terserempak dengan pelaku, mereka akan lari tapi beberapa hari kemudian datang semula untuk buang sampah," katanya ketika ditemui di tapak berkenaan di sini semalam.

Tan Kooi Hong
Tan Kooi Hong

Seorang lagi penduduk, Chan Lai Sim, 60, berkata, dia yang tinggal di sana sejak 40 tahun lalu mengambil keputusan untuk berpindah sejak sebulan lalu selepas bimbang dengan keselamatan dan kesihatan keluarganya.

"Saya bimbang kejadian bakar longgokan sampah itu boleh menyebabkan api merebak ke kawasan rumah penduduk yang jaraknya kurang 50 meter.

"Timbunan sampah juga menyebabkan bau busuk dan pembiakan nyamuk. Salah seorang anak saya dijangkiti denggi baru-baru ini menyebabkan kami tidak mahu mengambil risiko dan berpindah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Parlimen Wangsa Maju, Andre Lai berharap masalah dihadapi penduduk dapat diselesaikan dalam segera.

"Saya panjangkan isu ini sejak Mei lalu kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) namun sehingga sekarang tidak selesai dan masih menerima aduan daripada penduduk.

"Aduan saya buat melalui DBKL cawangan Wangsa Maju yang memanjangkan isu berkenaan kepada Jabatan Kesihatan DBKL selain mengesyorkan aduan sama dibuat kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS)," katanya.

Chan Lai Sim
Chan Lai Sim

Beliau turut mencadangkan supaya DBKL dapat mengenal pasti pemilik tanah tersebut dan mengeluarkan notis pembersihan.

"Difahamkan tanah itu dijual namun pemilik baru belum mengambil alih kawasan itu sepenuhnya disebabkan masalah tanah itu dijadikan tapak pembuangan sampah haram.

"Bagaimanapun, saya berharap tindakan terhadap setiap aduan dapat diambil segera kerana menimbulkan keadaan kurang senang daripada penduduk yang terdedah persekitaran kotor, bau asap dan demam denggi," katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kuala Lumpur, Nor Aziah Jaafar berkata, tiada laporan berhubung kes tersebut diterima setakat ini.

"Orang ramai diminta melaporkan segera ke JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 sekiranya mempunyai sebarang maklumat mengenai individu memulakan pembakaran sehingga menyebabkan kebakaran merebak ke kawasan lebih besar terutama di kawasan belukar dan hutan.

"Melakukan pembakaran terbuka adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan kompaun maksimum RM2,000 atau denda RM500,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

#jalangombak #kualalumpur Lebih sepuluh kali bomba datang ke lokasi itu untuk memadamkan kebakaran. Itu antara keluhan penduduk Kampung Kuantan Jalan Gombak di sini selepas laluan masuk ke kawasan perumahan mereka, sepanjang kira2 300 meter menjadi tempat longgokan sampah haram. Lebih parah, longgokan sampah itu dibakar. Sebuah keluarga mengambil keputusan untuk berpindah, selepas salah seorang ahli keluarganya terkena demam denggi, selain bimbang aktiviti pembakaran terbuka itu merebak ke rumah penduduk yg kurang 50 meter dari tapak itu [ARTIKEL PENUH:https://www.sinarharian.com.my/article/33056/EDISI/Selangor-KL/Kawasan-lapang-jadi-tapak-pembuangan-sampah-haram] Laporan: MOJO Sinar Harian Selangor/KL NORAFIZA JAAFAR

Posted by Sinar Harian Edisi Selangor & KL on Thursday, June 20, 2019