Anak Pahang harumkan negara

Hishamuddin (kiri) bangga menerima Anugerah Kepimpinan Belia Dunia 2019 ( Global Youths Leadership Award 2019 di National Assembly Hall, Katmandhu, Nepal baru-baru ini.
A
A

LIPIS - Anak jati Pahang dari Kampung Berchang, Kuala Lipis Hishamuddin Abdul Rahman mengharumkan nama negara selepas muncul antara 27 penerima Anugerah Kepimpinan Belia Dunia 2019 ( Global Youths Leadership Award 2019 di National Assembly Hall, Katmandhu, Nepal baru baru ini.

Anak sulung daripada sepuluh adik-beradik itu menerima anugerah yang disampaikan oleh bekas Perdana Menteri Nepal, Hon Jhala Nath Khanal.

Hishamuddin yang juga Naib Presiden 1 Malaysian Corruption Watch kini bertugas sebagai pensyarah akademik di Jabatan Bahasa Inggeris, Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis. Pahang.

"Saya sudah bergiat dalam kerja- kerja sosial pendidikan iaitu hampir 22 tahun khususnya dalam meningkatkan martabat pendidikan negara seperti membantu nasib pelajar luar bandar, pelajar orang asli dan pinggir bandar," katanya.

Pendidik berusia 47 tahun itu juga pernah melaksanakan Program Membendung Kemiskinan Luar Bandar melalui Kesedaran Pendidikan di seluruh negara.

"Program sebegini dilihat berkesan untuk memberi motivasi kepada pelajar luar bandar agar tidak tercicir dan gagal dalam pendidikan seterusnya dapat membantu keluarga keluar daripada kemiskinan,"katanya.

Menurutnya, sebagai anak kampung beliau tidak kekok mendekati golongan berkenaan malah memberi inspirasi apabila mereka menunjukkan minat dan mahu berubah.

"Saya harap kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih ramai lagi anak muda menceburi bidang kesukarelawan agar terus memperjuangkan nasib anak bangsa dan menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara.

"Saya juga diminta oleh beberapa negara seperti Nepal dan Bangladesh bagi menjalankan program tersebut," katanya.

Hishamuddin pernah menjadi Guru Besar di sekolah orang asli iaitu Sekolah Kebangsaan Lenjang pada tahun 2001 hingga 2003 yang memberi pengalaman berguna untuk mendekati masyarakat itu.

Beliau turut memberi sokongan kepada isterinya, Fatin Noralia Solehah Salehuddin, 24, kini berusaha meningkatkan pendidikan masyarakat pribumi dan penduduk luar bandar.