Ronnie Liu gesa SPRM siasat penguatkuasa MBPJ minta rasuah

Ronnie Liu
Ronnie Liu
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha DAP Selangor, Ronnie Liu menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan terdapat beberapa anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terlibat rasuah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pelek itu berkata, pihaknya menerima maklumat daripada beberapa peniaga pusat membeli-belah di Kelana Jaya dekat sini yang mendakwa mereka didatangi penguatkuasa MBPJ yang meminta wang sekiranya tidak mahu dikenakan kompaun.

Kompaun itu atas kesalahan mempamerkan papan tanda dan iklan tanpa lesen di premis perniagaan masing-masing.

“Menurut peniaga, kejadian tersebut berlaku pada 30 Mei lalu iaitu sehari sebelum operasi penguatkuasaan berkaitan papan tanda dan iklan, dilakukan anggota penguatkuasa MBPJ.

"Peniaga diminta membayar antara RM100 hingga RM300 kepada mereka (anggota penguatkuasa MBPJ) pada hari itu untuk mengelakkan dikenakan kompaun oleh MBPJ semasa hari operasi penguatkuasaan tersebut (31 Mei)," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengiringi beberapa peniaga terlibat membuat laporan berhubung kejadian itu di pejabat SPRM Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata peniaga membayar wang yang diminta bagi mengelakkan mereka dikompaun sehingga RM1,000 kerana kesalahan tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan: