ECRL di Tok Bali perlu ada kargo

Projek ECRL bantu tingkatkan ekonomi setempat. Gambar kecil, Hanifa.
Projek ECRL bantu tingkatkan ekonomi setempat. Gambar kecil, Hanifa.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan negeri berharap projek East Coast Rail Link (ECRL) di Tok Bali disediakan dua perkhidmatan iaitu kargo dan penumpang.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Usahawan, Datuk Hanifa Ahmad berkata, beberapa perubahan skop kerja berlaku melibatkan projek tersebut selepas kerajaan Malaysia berubah pentadbiran dan pembinaan stesen ECRL Tok Bali diubah kepada perkhidmatan penumpang sahaja.

"Jika hanya untuk penumpang, ia dilihat kurang berkesan kepada industri hiliran di Tok Bali. Manakala di Cherang Ruku pula disediakan perkhidmatan kargo dan penumpang. Kerajaan negeri mencadangkan supaya kedua-dua stesen ini mendapat manfaat yang sama supaya perkembangan ekonomi kedua-dua kawasan dapat dikembangkan sebaiknya," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan yang diajukan (Pas-Chetok), Zuraidin Abdullah semasa Persidangan DUN Kelantan Kali Kedua, Penggal Kedua, di sini.

Zuraidin mempersoalkan mengenai kesan ekonomi kepada negeri dan rakyat Kelantan melalui projek tersebut terutamanya kepada industri hiliran.

Menurutnya, sebelum ini lima stesen dijangka dibina di Kelantan melibatkan kawasan Pengkalan Kubor, Wakaf Baru, Kota Baharu, Jelawat dan Tok Bali.

Bagaimanapun, Hanifa berkata, selepas beberapa proses berlaku melibatkan status pembinaan tersebut, kerajaan persekutuan memutuskan projek tersebut akan terus dilaksanakan di negeri ini dengan beberapa stesen pilihan sahaja.

Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, (BN-Bukit Bunga) Datuk Adhan Kechik turut mengajukan soalan sama ada kerajaan negeri apakah langkah yang dilakukan untuk mengembalikan semula cadangan asal iaitu membina lima stesen sebagaimana yang dijanjikan ketika pemerintahan BN.

Artikel Berkaitan:

Menjawab soalan tersebut, Hanifa berkata, pihaknya sudah membuat permohonan mengenai perkara tersebut namun kerajaan pusat telah keputusan dan memberi alasan yang melibatkan beberapa komponen penting.

“Kos asalnya dari Pengkalan Kubor ke Pelabuhan Klang ialah lebih RM60 bilion dengan memendekkan jaraknya kos akan berkurang sehingga RM40 bilion.

"Dan alasan tidak sampai ke Pengkalan Kubor adalah kerana ia akan selari dengan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT 3) yang akan dilaksanakan juga melalui Palekbang, Pengkalan Kubor. Maka tidak perlu lagi ketika ini untuk mewujudkan stesen tersebut,” katanya.