Polis serbu premis tawar judi online

Sebuah premis di Jalan Khoo Teik Ee, Off Jalan Imbi, Kuala Lumpur yang beroperasi dengan menawarkan perjudian online berjaya dikesan polis, semalam.
A
A

KUALA LUMPUR - Taktik lapuk sebuah premis di Jalan Khoo Teik Ee, Off Jalan Imbi, di sini, yang beroperasi secara 'sorok-sorok' dengan menawarkan kegiatan perjudian online akhirnya dikesan pihak berkuasa.

Bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, menyerbu premis terbabit kira-kira jam 12.30 tengah hari, semalam.

Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Rohazah Alwi berkata, Ops Dadu itu berjaya menahan 11 lelaki warga asing berusia lingkungan 30 hingga 49 tahun.

"Semakan mendapati lapan lelaki terbabit merupakan warga Bangladesh, manakala tiga lagi adalah warga Indonesia.

"Warga asing ini masing-masing berperanan sebagai penjaga premis, pemain serta penonton," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Menurutnya, serbuan telah merampas tablet, modem, komputer riba serta wang tunai.

Rohazah berkata, soal siasat mendapati, premis itu dijaga oleh salah seorang suspek lelaki warga Bangladesh dan telah aktif sejak dua minggu lalu dengan tawaran gaji RM1,200 sebulan.

Katanya, premis di tingkat bawah ini adalah premis lama yang pernah diserbu beberapa bulan lalu kerana beroperasi sebagai tempat perjudian online.

Bagaimanapun, ia mula beroperasi semula secara 'rahsia' dengan menutup pintu depan, tetapi ada satu pintu khas sebelah tangga untuk membolehkan pemain masuk.

"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen," katanya.