Biar polis siasat kes video: AMK

Akmal pada sidang media sempena Majlis Sambutan Hari Raya dan Rumah Terbuka Parlimen Johor Bahru di sini, hari ini.
Akmal pada sidang media sempena Majlis Sambutan Hari Raya dan Rumah Terbuka Parlimen Johor Bahru di sini, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat berhubung kes video intim songsang yang mengaitkan pimpinan parti itu.

Ketuanya, Akmal Nasir berkata sesiapa yang dipanggil untuk membantu siasatan perlu memberi kerjasama.

"Biar polis buat kerja sebab kalau ada banyak pihak yang siasat, macam mana kalau keputusan itu tidak sama? Sebab itu perlu biar polis yang siasat. Apa pun keputusannya akan membantu. Tak boleh kalau Biro Disiplin siasat dapat hasil keputusan dan polis pula dapat teori yang berbeza.

"Ini memang tak membantu jadi kita perlu beri kerjasama sepenuhnya kepada polis. Siapa pun dipanggil untuk bantu siasatan atau polis nak akses kepada sebarang maklumat, kita beri kerjasama," katanya kepada pemberita pada sidang media ketika Majlis Sambutan Hari Raya dan Rumah Terbuka Parlimen Johor Bahru di sini, hari ini.

Menurutnya, PKR tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat dan menyemak telefon bimbit ahli.

"Kita tak ada kuasa nak panggil dan semak telefon bimbit orang jadi saya mengharapkan pihak polis boleh teliti sedalam-dalamnya. Nombor-nombor telefon itu wartawan pun ada nombor pemimpin.

"Pihak berkuasa perlu buat siasatan menyeluruh dan jika benar ada pihak yang berkomplot dalam kes ini polis seharusnya melihat bagaimana nak pastikan mereka yang bertanggungjawab disiasat dengan sebaik mungkin," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Azmin desak pucuk pimpinan PKR siasat dalang penyebar video intim

Artikel Berkaitan:

Hari ini, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dikaitkan dalam video intim tersebut bersama Ketua AMK Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz mendesak partinya menyiasat dalang yang mewujudkan kumpulan aplikasi WhatsApp.

Kata Azmin, langkah itu perlu diambil kerana pihak yang mewujudkan kumpulan tersebut mempunyai maklumat mengenai individu yang hendak dijadikan ahli di laman sosial berkenaan termasuk maklumat berkaitan anggota parti di peringkat cabang daripada yang rendah hingga tertinggi.

Selain itu, Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru akui mengenali Haziq namun beliau tidak dapat memastikan keahliannya selepas isu itu tercetus.

"Dia memang menang dalam pemilihan lepas sebagai Ketua AMK Santubong dan telah aktif sejak zaman mahasiswa. Tapi soal keanggotaan beliau di bawah bidang kuasa parti, jadi jangan tanya Ketua AMK pusat apa status dia sebagai Ketua AMK Santubong. Itu bukan kuasa saya," katanya.

Haziq yang merupakan Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama kini telah digantung kerja setelah membuat pengakuan terbuka di Facebook sebagai lelaki di dalam video seks yang tular sejak Selasa lalu.