Polis tahan warga asing terlibat kes pecah rumah di Nilai

pecah masuk
pecah masuk
A
A
A

NILAI – Polis percaya dapat melumpuhkan kes pecah rumah di daerah Nilai terutama di kawasan sekitar Taman Semarak di sini berikutan tertangkapnya seorang lelaki warga asing (Indonesia) dalam Ops Poket semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata suspek yang berumur 30-an itu ditangkap di sebuah rumah di sini pada kira-kira pukul 11 malam dan telah menemui beberapa barangan bernilai RM20,000.

"Antara barangan itu ialah barangan kemas, sembilan telefon bimbit, dua galaxy tab, seutas jam tangan, dua dompet, enam beg galas, lapan keping surat pajak gadai dan alat pecah rumah iaitu sebatang besi pahat berukuran 25cm," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohd Nor Marzukee berkata, siasatan awal mendapati suspek menyasarkan rumah pada ketika ia tidak berpenghuni dan modus operandinya adalah dengan cara mengumpil pintu serta memotong kunci mangga pintu belakang rumah.

Katanya suspek yang bergerak secara sendirian itu disyaki terlibat dalam kegiatan pecah rumah di sekitar Taman Semarak sejak Oktober lepas.

"Suspek kini ditahan reman tujuh hari untuk siasatan lanjut. Pemeriksaan juga mendapati cap jari suspek positif untuk satu kes pecah rumah, manakala lain-lain kes masih menunggu laporan cap jari. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, polis menahan seorang lelaki berumur 40-an yang menaiki sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di Taman Semarak pada kira-kira pukul 1.15 pagi Selasa dan menemui satu beg berisi wang tunai berjumlah RM4,075, satu beg pakaian, satu guni mengandungi duit syiling berjumlah RM1,542.35, satu beg plastik berisi 119 kotak rokok pelbagai jenama dan satu beg plastik berisi satu paket lutsinar disyaki dadah jenis syabu serta alat menghisap dadah.

Katanya pemeriksaan mendapati kereta itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan telah dilaporkan hilang di Sri Muda, Shah Alam, Selangor.

Artikel Berkaitan:

Katanya pihak polis masih meneruskan usaha mengesan seorang lagi suspek berumur 20-an yang melarikan diri dan dipercayai masih berada di daerah Nilai.- Bernama.