Masalah di Kedah selesai jika Anwar jadi PM?

Nurul Amin (duduk tengah) bersama wakil-wakil pemuda UMNO, MIC dan MCA pada sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Rakan Media dan Jamuan Aidilfitri Dewan Pemuda Pas Kedah di Restoran Ikan Bakar Anjung Kuala, Kuala Kedah, dekat sini.
A
A

KUALA KEDAH - Mampukah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelesaikan semua masalah dalam tempoh yang singkat sekiranya diangkat menjadi Perdana Menteri terutamanya masalah yang berlaku di Kedah pada hari ini?, demikian soal Ketua Dewan Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul bahawa beliau akan mengemukakan penstrukturan semula Kedah kepada Anwar untuk menjadikan negeri ini maju sekiranya pemimpin tersebut sah memimpin negara selepas ini.

"(Kenyataan itu) betapa ada satu agenda dari PKR yang kelihatan mahu menyingkirkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Kenyataan beliau juga menjejaskan kestabilan politik Kedah yang akan mengakibatkan kerugian kepada rakyat jelata.

"Kini rakyat tertanya-tanya apakah bentuk masalah-masalah yang menghambat rakyat Kedah selama ini di bawah Mukhriz dan adakah Anwar mempunyai tongkat sakti yang mampu menyelesaikan masalah dalam tempoh yang singkat," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Rakan Media dan Jamuan Aidilfitri Dewan Pemuda Pas Kedah di Restoran Ikan Bakar Anjung Kuala, Kuala Kedah, dekat sini semalam.

Kenyataan media itu dilakukan bersama Ketua Pemuda UMNO Kedah, Mohd Fadzil Zulkifli, Ketua Pemuda MIC Kedah, Jeevabalan Jayaraman dan Ketua Pemuda MCA Kedah, Tan Chee Hiong.

Nurul Amin berkata, pihaknya menegaskan bahawa agenda membangunkan negeri dan membantu rakyat adalah tanggungjawab kepimpinan parti pemerintah yang berkuasa pada hari ini.

"(Dalam hal ini) tidak perlu menunggu apa-apa perubahan pucuk pimpinan kerana jelas akan mengakibatkan penangguhan masa yang merugikan rakyat.

"Kami berharap kepimpinan yang telah dipilih rakyat perlu kekal memimpin hingga tamat penggalnya untuk memastikan agenda untuk negeri dan rakyat berjalan lancar tanpa ada unsur sabotaj, bersifat politik mengutamakan kuasa dan sentimen tertentu," katanya.

Tambah beliau, pihaknya menyarankan Mukhriz memainkan peranan dengan memimpin lebih baik, kerap turun bersama rakyat dan lebih banyak berada di Kedah berbanding lebih banyak masa di luar negeri.

Menurutnya, semua exco Kedah juga perlu menjalankan tanggungjawab tidak bersifat mementingkan peribadi dan parti tetapi mesti adil dan saksama kepada semua kaum dan agama di negeri ini.

"Rakyat kini dihambat dengan pelbagai kemelut seperti kos sara hidup yang tinggi, pendapatan yang rendah dan tidak seimbang, masalah keperluan asas yang kritikal seperti bekalan air, janji harapan yang musnah di bawah mulut manis pemimpin PH, maka pemimpin PH diminta tidak menonjolkan agenda bersifat peribadi, mesti mengutamakan kepentingan rakyat," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia