Bayar pampasan jika pesawat lewat

A
A

RAMAI daripada kita pernah mengalami kelewatan penerbangan dan tidak mendapat layanan setimpal terhadap kegagalan syarikat penerbangan mengikut jadual penerbangan seperti yang telah ditetapkan.

Kadang-kadang penumpang terpaksa menunggu lebih 3 jam kerana kelewatan penerbangan berlepas dan ini menyusahkan dan membebankan penumpang.Apa yang sering berlaku apabila penumpang lewat walaupun 5 minit pun tidak dibenarkan berlepas dan terpaksa mendapatkan tiket lain! Begitu juga banyak aduan demi aduan oleh penumpang terhadap kehilangan, kerosakan bagasi dan pelbagai aduan yang 'kurang diberi perhatian.'

Dalam hal ini seolah-olah penumpang sentiasa diberikan 'hukuman' dan menjadi mangsa jika terlewat. Tetapi apabila berlaku kelewatan pelepasan dan ketibaan penerbangan, pihak syarikat penerbangan sekadar 'meminta maaf' dan tidak dihukum dengan kegagalan yang mereka lakukan.

Adakah dengan alasan penerbangan harga murah, harga bajet, penumpang menjadi mangsa kepada polisi yang dianggap tidak adil dan berat sebelah? Sebelum ini pun wujud isu promosi penerbangan dengan menyatakan bayaran tersembunyi. Namun apabila beberapa negara mengambil tindakan dan wajaran dilakukan.

Pelbagai rungutan dan keluhan penumpang dan pengguna ibarat berakhir di angin lalu. Tiada tindakan dan tidak juga mendapat pembelaan. Malahan, beberapa rakaman video yang viral juga membuktikan wujud segelintir pekerja syarikat penerbangan yang mencuri barangan penumpang semasa proses memasukkan bagasi ke kapal terbang.

Mutakhir ini tiada apa keistimewaan bagi penumpang yang membayar lebih untuk diberikan keutamaan kerana terpaksa berpusu-pusu dan berebut-rebut dengan penumpang kelas biasa. Ramai juga merungut kerana tiada lagi keutamaan kepada warga emas dan penumpang yang membawa bayi dan kanak-kanak untuk memasuki pesawat terlebih dahulu untuk berlepas.

Apa yang berlaku, apabila ada complain dan rungutan dalam media sosial, baharulah syarikat penerbangan akan mengambil tindakan. Apabila media membongkar, maka adalah tindakan susulan. Sampai bila keadaan ini terus berlaku?

Ubah sistem

Kerajaan Malaysia sewajarnya perlu mengikut jejak langkah yang dilakukan oleh kerajaan Kanada dengan menetapkan pengguna pengangkutan udara di negara itu bakal layak menerima pampasan kelewatan penerbangan atau kehilangan bagasi.

Menurut laporan AFP di bawah peraturan baharu yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Marc Garneau, langkah itu berikutan peningkatan jumlah aduan penumpang terkandas di landasan selama berjam-jam, kerosakan alat muzik ketika transit dan kehilangan bagasi.

Peraturan ini juga bertujuan memberi hak dan layanan yang sepatutnya dimiliki pengembara selepas mereka membuat bayaran. Perlaksanaan akan bermula 15 Julai ini, menetapkan agar syarikat penerbangan perlu menurunkan penumpang selepas tiga jam berada di landasan, jika tidak berlepas segera.

Laporan itu juga menyatakan bahawa syarikat perlu membayar pampasan kepada penumpang jika terlebih menerima tempahan iaitu sehingga C$2,400 (RM7,480). Bayaran pampasan sehingga C$2,100 (RM6,550) dikenakan jika hilang bagasi penumpang.

Pada 15 Disember ini, langkah-langkah tambahan memerlukan syarikat penerbangan membayar penumpang sehingga C$1,000 (RM3,120) untuk kelewatan dan pembatalan penerbangan selain menyediakan makanan, minuman, penginapan dan membuat tempahan semula penerbangan menggunakan syarikat pesaing, jika perlu.

Undang-undang ini terpakai kepada penerbangan keluar masuk dan juga di dalam Kanada. Syarikat juga perlu menempatkan kanak-kanak dekat ibu bapa tanpa caj tambahan dan menetapkan standard baru untuk prosedur pengangkutan peralatan muzik.

Tindakan yang dianggap menang-menang dibuat oleh kerajaan Kanada perlulah menjadi iktibar dan memberi ruang penambahbaikan sistem penerbangan di negara ini.

Kerajaan Malaysia perlu mentransformasikan sistem penerbangan agar lebih kompetitif dan mencapai standard antarabangsa. Keadilan dan hak pengguna khususnya penumpang mestilah menjadi keutamaan agar isu kelewatan penerbangan dapat diatasi dengan lebih bersistematik dan saksama.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.