'Siang malam berkumpul di pencawang telekomunikasi'

Rozali (tiga dari kanan) bersama Hashim (dua dari kanan) dan penduduk berkumpul di kawasan pencawang telekomunikasi untuk dapatkan talian telefon.
Rozali (tiga dari kanan) bersama Hashim (dua dari kanan) dan penduduk berkumpul di kawasan pencawang telekomunikasi untuk dapatkan talian telefon.
A
A
A

BALING- Penduduk Kampung Air Kepar Mukim Bakai terpaksa berkumpul di kawasan pencawang telekomunikasi setiap kali ingin mendapatkan talian telefon dan internet sejak dua bulan lalu.

Keadaan itu berlaku selepas pencawang telekomunikasi di kawasan kampung berkenaan rosak selepas kotak fius disambar kilat.

Penduduk, Rozali Zakaria, 65, berkata, kerosakan pencawang berkenaan menjejaskan urusan harian 45 buah keluarga di kampung berkenaan.

Menurutnya, mereka sudah membuat aduan kepada pihak berkenaan namun sehingga kini tiada tindakan diambil.

“Urusan orang kampung jadi payah sejak pencawang ni rosak dua bulan lalu terutamanya jika ada saudara sakit atau kematian.

“Dalam tempoh dua bulan ini, orang kampung tak kira siang dan malam akan berkumpul di kawasan pencawang untuk dapatkan talian telefon atau internet,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kawasan pencawang itu hari ini.

Rozali berkata, jumlah penduduk berkumpul di kawasan pencawang lebih ramai pada waktu malam.

“Kawasan ini tinggi jadi dapatlah talian telefon. Di rumah memang tak dapat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Hashim Man, 64, pula berkata, ketiadaan talian telefon menyukarkan dia untuk berhubung dengan anak-anaknya yang tinggal berjauhan.

Menurutnya, disebabkan masalah itu, kampung berkenaan juga terdedah dengan kes kecurian.

“Jika ada talian telefon duk di rumah pun kita boleh tahu apa terjadi. Tapi bila jadi macam ni kami tak tau apa yang berlaku.

“Tambahan pula sekarang ni banyak kes kecurian. Pihak berkaitan ada mai tengok pencawang ni tiga hingga empat kali tapi masih tidak diperbaiki,” katanya.

Katanya, selagi kerosakan pencawang tidak diperbaiki, penduduk terpaksa berkumpul di kawasan itu dan secara tidak langsung mengundang bahaya kepada mereka.

“Kawasan ini ular pun ada, kira-kira sebulan lalu ada dua orang dipatuk ular ketika sedang mencari talian telefon,” katanya.

Dalam pada itu, Fauzi Idris, 50, berkata, penduduk berharap pencawang itu diperbaiki segera.

“Jika ada ahli keluarga meninggal di kawasan Baling atau Kupang, waris lain tak dapat hubungi kami di kawasan ini. Begitu juga bila ada kes kemalangan atau sebagainya,” katanya.

Menurutnya, dia juga bimbang jika pencawang itu dibiarkan tanpa dibaiki akan berlaku kes kecurian.

“Mungkin boleh jadi macam tu kerana pencawang ada pun tak dapat digunakan. Jadi depa akan guna peluang ini untuk panjat, curi atau pecah apa yang patut,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Mukim Bakai, Muhammad Zuki Awang berkata, diharap pihak berkenaan dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk di sini secepat mungkin.

“Keperluan orang kampung kita sepatutnya jaga. Jangan rugikan kemudahan yang ada, lagipun penduduk menggunakan perkhidmatan yang berbayar,” katanya.