Jawatankuasa khas ditubuh lancarkan Mahkamah Khas Perkahwinan

Mujahid (empat dari kanan) teruja menyampaikan sumbangan duit raya kepada pengunjung kanak-kanak yang memeriahkan penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Parit Buntar di Dataran Kerian Permai, Parit Buntar semalam.
A
A

PARIT BUNTAR - Sebuah jawatankuasa khas sudah dibentuk bagi melancarkan pelaksanaan Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah yang sudah diluluskan kabinet sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, kewujudan jawatankuasa khas yang baharu diluluskan pihaknya turut membabitkan peranan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurutnya, keperluan penglibatan BNM bagi memastikan usaha mahkamah membekukan aset, harta dan akaun bank suami yang culas membayar nafkah kepada bekas isteri adalah terkandung dalam klausa akta bank itu.

"Selain itu, KWSP dan Kementerian Sosial, Keluarga dan Wanita turut dilibatkan dalam jawatankuasa khas ini bagi lihat kaedah bagaimana kerajaan hendak mengambil duit suami culas bayar nafkah di KWSP serta membincangkan soal kebajikan bekas isteri dan anak terabai.

"Jawatankuasa ini bertanggungjawab berinteraksi dengan semua pihak di bawah seliaan Pengerusinya, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar iaitu Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan saya sebagai penasihatnya," katanya kepada media pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Parit Buntar di Dataran Kerian Permai, di sini hari ini.

Mujahid berkata, jawatankuasa khas itu sudah berfungsi setelah diluluskan pihaknya melalui satu jawatankuasa pasca Kabinet baru-baru ini.

Menurutnya, ketika ini fungsi jawatankuasa masih di peringkat permulaan interaksi dengan semua pemegang amanah terutama BNM dan KWSP.

"Saya menjangkakan jawatankuasa khas ini mampu menyelesaikan segala aspek penting termasuk pindaan beberapa akta dalam melancarkan perlaksanaan Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah selewat-lewatnya hujung tahun ini," katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah yang dijangka beroperasi pada Mei depan, mempunyai kuasa menyita harta lelaki yang culas membayar nafkah kepada bekas isteri.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia