Kerajaan peruntuk RM50 juta bagi pelaksanaan Geran Khas Hasanah 4

 Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan geran padanan berjumlah RM50 juta kepada Yayasan Hasanah yang diperuntuk melalui Belanjawan 2023 di bawah Geran Khas Hasanah 4.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerjasama antara Kementerian Kewangan dan Yayasan Hasanah telah membolehkan pembiayaan terbesar kepada masyarakat sivil serta perusahaan sosial daripada kerajaan.

"Saya amat menghargai sokongan serta kepimpinan Yayasan Hasanah dan Khazanah Nasional. Geran Khas Hasanah juga membolehkan pertumbuhan yang ketara bagi penjanaan pendapatan dalam kalangan masyarakat rentan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama yang dibacakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri di Forum Hasanah dan Persidangan Global Asia Venture Philanthropy Network (AVPN) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Yayasan Hasanah dan AVPN kerana mengorak langkah penting dalam menangani isu kesejahteraan mental dalam kalangan belia di Asia dengan penubuhan Dana Terkumpul Dermawan Kesejahteraan Mental Belia Asia.

Anwar berkata, tujuan dana itu adalah untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan mental di seluruh Malaysia dan rantau ini dengan menggalak serta menggerakkan lebih banyak modal selain memudahkan perbualan dalam kalangan penderma.

"Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022, pemikiran untuk membunuh diri dalam kalangan belia telah berkembang sejak sedekad lepas seperti pada 2017, ia adalah 10 peratus dan jumlah ini telah meningkat kepada 13 peratus pada 2022.

"Kemurungan juga telah meningkat dengan angka terkini menunjukkan seorang daripada empat belia mengalami kemurungan. Saya bayangkan jumlahnya juga semestinya meningkat di negara lain.

"Adalah amat penting khususnya bagi belia kita untuk mempunyai akses kepada sumber yang betul serta tempat yang selamat untuk mendapatkan kerana pemuda pemudi kita adalah masa depan Malaysia dan semua negara yang diwakili di sini hari ini,” katanya. - Bernama