TUDM tingkat pengambilan perajurit muda lepasan diploma

Dari kanan: Andrew Prakash, Khairul Fauzan dan Ardi Mansyah bersama anugerah masing-masing. Foto: Bernama
Dari kanan: Andrew Prakash, Khairul Fauzan dan Ardi Mansyah bersama anugerah masing-masing. Foto: Bernama
A
A
A

IPOH – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berhasrat menjadikan pengambilan perajurit muda sepenuhnya kalangan lepasan diploma melalui pelan jangka panjang yang dirangka iaitu Pelan Pembangunan Keupayaan 2055 atau ‘Capability Development 55’ (CAP55).

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, menerusi CAP55, pihaknya melangkah ke satu era baharu untuk menyediakan anggota-anggota yang dapat melaksanakan tugas sama ada sebagai juruteknik, anggota urus tadbir, anggota material atau bahagian operasi dan pasukan khas dengan keupayaan tinggi bagi jangka masa panjang.

“Apabila dunia semakin maju, kita akan menerima aset-aset yang canggih dan berkeupayaan tinggi, jadi situlah kita memerlukan mereka yang bersedia yang boleh menentukan aset ini dikendalikan dengan betul dan sepatutnya.

“Dalam dua pengambilan sebelum ini pun kita lebih kepada lepasan diploma dan mungkin dalam sikit masa lagi pengambilan perajurit muda adalah sepenuhnya merupakan pemegang diploma,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Udara Siri 60/2019 di Akademi Tentera Udara Ipoh hari ini.

Tanpa menyebut tempoh pelaksanaan perkara itu, beliau berkata, pengambilan perajurit muda kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) masih lagi diterima.

“Kita sedang ke arah itu, kalau boleh memang nak segera memandangkan trend bilangan (kemasukan perajurit kalangan diploma) semakin bertambah termasuklah wanita dan kita juga merasakan yang kita mahukan adalah kualiti, soal gender tidak dilihat sebagai satu halangan,” katanya.

Jelasnya, selain dapat memendekkan tempoh kursus pengkhususan bagi mendapatkan lesen kepakaran, perajurit muda daripada lepasan diploma juga diberikan skim gaji permulaan lebih tinggi berbanding kelulusan SPM.

Katanya, dibandingkan dengan anggota atau pekerja awam di sektor lain, TUDM menyediakan gaji permulaan bagi lepasan diploma lebih tinggi, tambahan elaun dan peluang kursus termasuk di luar negeri.

Artikel Berkaitan:

“Oleh yang demikian saya menyarankan belia-belia di luar sana, ambillah peluang ini untuk menjadi anggota TUDM, bukan sahaja dapat menceburkan diri dalam bidang pengurusan sebagai tentera tetapi berpeluang mengendalikan sistem-sistem yang canggih,” katanya.

Dalam majlis itu, seramai 336 Perajurit Muda Udara (PjM U) termasuk 42 wanita berjaya menamatkan Latihan Perajurit Muda Udara selepas menjalani latihan selama 24 minggu sejak 1 Januari lalu.

Muhammad Khairul Fauzan Rahman, 23, dinobatkan sebagai PjM U terbaik keseluruhan dan menerima Piala Pusingan Panglima Tentera Udara.

Anugerah PjM U Akademik Terbaik pula disandang Ardi Mansyah Rahman, 24, dan menerima Piala Pusingan Panglima Pendidikan dan Latihan Udara manakala J Andrew Prakash, 23, dinobatkan sebagai PjM U Penembak Terbaik dan menerima Piala Pusingan Asisten Ketua Staf Tadbir.

Hadir sama pada istiadat perbarisan ini adalah Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Panglima Bantuan Udara Mejar, Jeneral Datuk Mohammad Salleh Osman.